Satu tragedi menyayat hati telah terjadi malam tadi apabila dilaporkan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut dan seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu oleh wanita yang disyaki tidak siuman.
Difahamkan kemalangan itu berlaku berhampiran pintu masuk kampus universiti awam tersebut sekitar 7.30 malam. Mangsa ketika itu baru pulang daripada makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda CRV dipandu wanita yang berusia dalam lingkungan 40-an itu merempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal yang berada di laluan sama.
Rempuhan berkenaan menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang. CRV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi masing-masing berusia 20 tahun manakala Mohd. Akmal Tukirin pula berumur 25 tahun.
Manakala rakan mereka yang parah ialah Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga pelajar UiTM Dungun, Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi yang kembali ke rahmatullah kerana kemalangan petang tadi. pic.twitter.com/iIDik1rZ4J— Zambry Abd Kadir (@ZambryOfficial) October 9, 2024
Sementara itu, pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu malam tadi mengesahkan tiga pelajarnya meninggal dunia manakala seorang lagi parah dalam kemalangan.
Difahamkan, wanita terbabit telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, menurut maklumat yang diperoleh daripada sumber awam, dimaklumkan salah seorang daripada mangsa meninggal ketika kedua-dua ibu bapa dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Sumber: Astro Awani,X