Sebagai seorang bapa, pastinya mereka akan melakukan yang terbaik dan berkorban demi anak yang mereka sayangi. Mereka sanggup melakukan sesuatu di luar jangkaan hanya untuk kepentingan dan kebaikan anak.
Seperti seorang bapa di China ini yang sanggup melakukan sesuatu yang mungkin tidak akan dilakukan oleh orang lain.
Feng Kai berasal dari sebuah bandar di timur Hefei, China sanggup memakai kostum beruang demi mengumpul dana kos perubatan anaknya yang disahkan menghidap kanser.
Anaknya, Feng Haoran kini berusia dua tahun disahkan menghidap leukamia pada Disember 2015 sebaik sahaja dilahirkan.
Dalam usaha menyelamatkan anaknya itu, pelbagai rawatan perlu dijalani termasuk kemoterapi dan pemindahan tulang sum sum. Kesiannya…
Disebabkan kos rawatan yang tinggi, Kai dan isterinya terpaksa menanggung hutang yang banyak. Kos perubatan Haoran dianggarkan sebanyak 1000 Yuan (RM643) sehari.
Disebabkan itu, Kai membuat keputusan untuk memakai kostum dan menawarkan bayaran 10 Yuan (RM6.43) kepada orang ramai bagi setiap satu pelukan.
Namun, sudah tentu ianya tidak semudah yang disangka memandangkan memakai kostum bukanlah sesuatu yang baru bagi kanak-kanak. Kebanyakannya tidak teruja dan tidak mempedulikannya.
Ianya sangat sukar untuk mendapatkan dana. Ramai pejalan kaki tidak mempedulikan saya. Dalam masa tiga hari, saya hanya dapat kumpul 100 Yuan sahaja (RM64.32),” kata Kai.
Namun segalanya bagaikan mimpi buat Kai apabila gambarnya ketika sedang bekerja memakai kostum itu menjadi viral di media sosial tempatan.
Antara gambar yang berjaya meraih simpati dari orang ramai adalah gambar di mana Kai memeluk seorang lelaki warga emas yang duduk di atas kerusi roda serta gambarnya kelihatan letih dan mengelap peluh di dahinya selepas membuka kepala kostum beruang itu.
Disebabkan gambar-gambar itu, Kai menerima sumbangan lebih 171,260 Yuan (RM110,163) daripada orang ramai yang bersimpati dengan keadaan anaknya.
Perhatian pihak media tentang kisahnya berjaya membantu Kai membayar semula bil hospital yang melambung. Kai dan isteri sangat bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan untuk kos perubatan anak mereka.
Diharapkan, dana yang terkumpul dapat membantu meringankan beban Kai sekeluarga. Kepada anda, hargailah setiap pengorbanan yang dilakukan kedua ibu bapa.