Kegiatan buli tidak dinafikan semakin berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah, malah di sekolah rendah juga. Sebagai rakyat yang prihatin, seseorang yang menjadi saksi kepada kejadian buli tidak seharusnya membiarkan perkara itu berlaku.
Namun, menurut Malaysia Digest, seorang bapa telah bertindak memfailkan saman cuai terhadap sebuah sekolah swasta di Setapak dan seorang guru kelas kerana didakwa membiarkan kegiatan buli berlaku.
Mohamad Fairul Mohamad Ramzi, 33, bertindak sedemikian selepas anaknya, Agung Ishmael, 8, mendakwa dibiarkan dibuli rakan sekelas sehingga mengalami kecederaan. Fairul, memfailkan tuntutan itu dengan menamakan sekolah dan pendidik wanita terbabit yang merupakan guru ganti masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Dia yang bertugas sebagai pegawai komunikasi bersama anaknya telah memfailkan tuntutan berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen.
Menurut anaknya, dia telah digigit di bahagian muka dan ditendang di bahagian punggung oleh rakan sekelas. Kejadian itu berlaku pada 1 Jun lalu di dalam kelas namun melalui rakaman CCTV, guru tersebut dilihat membiarkan kegiatan buli itu berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan.
Fairul turut mendakwa bahawa anaknya cedera dan sering diganggu oleh kanak-kanak tersebut, namun kedua-dua defendan tidak mengambil tindakan termasuk rawatan walaupun sedia maklum tentang insiden buli tersebut.
Selepas mendapat tahu keadaan anaknya itu, Fairul segera membawanya ke Pusat Perubatan Prince Court untuk mendapatkan rawatan pada jam 2 petang hari kejadian.
Bagaimanapun, pada 8 Julai lalu, Fairul dimaklumkan bahawa pihak sekolah telah bertindak menggantung persekolahan anaknya selama lima hari kerana didakwa konon sebagai bergaduh dengan seorang murid.
Disebabkan itu, Fairul juga telah menuntut pembatalan tindakan penggantungan persekolahan anaknya dan berkata bahawa ianya ‘tidak wajar’ kerana tidak memberi peluang kepada anaknya untuk membela diri.
Selain itu, dia juga menuntut deklarasi bahawa tindakan gantung oleh pihak sekolah berkenaan sebagai tidak sah dan wajar diketepikan serta memohon pembatalan nama Agung Ishmael daripada rekod disiplin murid.
Disebabkan insiden yang berlaku dan tindakan tidak wajar dari pihak sekolah, Fairul membuat keputusan untuk menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas sebanyak RM6,009.70 untuk kos rawatan dan pemulangan deposit persekolahan.
Kalau betul apa yang dia dakwa, memang tak patutlah pihak sekolah dan guru biar kegiatan buli berlaku dalam sekolah. Ish!
Baca: Video Sekumpulan Pelajar Perempuan Buli Rakan di Padang Sekolah Tular