in

Bapa Penyerang Balai Polis Ulu Tiram Mengaku Tidak Bersalah, Tanam Ideologi Da*sh & Miliki Senjata Api

Kes Balai Polis Ulu Tiram

Masihkah anda mengingati tragedi yang menimpa Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lepas yang mengorbankan dua anggota polis?

Hari ini, bapa kepada penyerang balai polis berkenaan, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan dan memiliki senjata api berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Ulu Tiram

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes.

Artikel berkaitan: Adik Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Alami Kemurungan, Diarah Jalani Rawatan

Artikel berkaitan: “Saya tak faham, saya tiada senjata” – Ahli Keluarga Suspek Serangan Balai Polis Ulu Tiram Bingung Mengapa Dituduh

Galak perbuatan pengganas kepada 4 anak 

Dalam pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa dengan pengetahuan telah menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi Daesh kepada empat anaknya iaitu Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina, Mariah dan isterinya, Rosna Jantan di rumah dekat Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014 hingga 17 Mei 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api iaitu senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan Daesh dan juga didakwa memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei 2024 dan penghujung 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Di depan hakim yang sama, anak perempuanya, Farhah Sobrina, 23, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Farhah Sobrina didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro