Seorang pelancong Malaysia yang bercuti di Sapporo menggambarkan detik mencemaskan apabila gempa bumi kuat menggoncang hotelnya, memaksa para tetamu bertempiaran mencari tempat selamat sementara amaran tsunami dikeluarkan di seluruh utara Jepun.
Zulhazri Abu Bakar, 51, berkata beliau dan isterinya sedang berehat di bilik hotel di tingkat 10 apabila telefonnya tiba-tiba berbunyi kuat melalui Sistem J-Alert Jepun, memberi amaran mengenai gempa bumi besar.
Artikel berkaitan: Ambil Perhatian! Ini 14 Kawasan ‘Hotspot’ Gempa Bumi Di Malaysia
Artikel berkaitan: MetMalaysia Kesan Gempa Bumi Magnitud 3.5 Di Perairan Batu Pahat
“Keadaan pada ketika itu memang sangat menakutkan dengan tangga dan bangunan bergoyang, tetapi saya paksa diri untuk memimpin yang lain mencari tempat dan laluan selamat untuk berlindung,” katanya.
Zulhazri, yang melancong bersama isterinya, Hanizah Hisham, 43, dan empat rakan, berkata mereka segera mengambil pasport dan barang keperluan sebelum bergegas keluar sambil memaklumkan situasi tersebut kepada rakan-rakan perjalanan mereka.
Keputusannya sebelum itu untuk meneliti laluan kecemasan sebaik sahaja mendaftar masuk ke hotel ternyata sangat membantu.
“Nasib baik pada hari pertama kami daftar masuk, saya tergerak hati untuk perhatikan laluan kecemasan. Jadi agak mudah untuk saya cari jalan keluar ketika saat genting itu,” katanya.
Gempa bumi berukuran 7.2 magnitud itu berlaku di perairan Aomori pada jam 11.15 malam waktu tempatan, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami setinggi sehingga tiga meter. Ketika gegaran menggoncang bangunan, Zulhazri berkata beliau hanya mampu berdoa agar semua selamat.
“Bayangkan, ini kali pertama kami lalui situasi seperti ini, dengan tangga dan bangunan bergoyang sampai rasa pening, tapi Alhamdulillah kami selamat,” katanya.
Para tetamu hotel diminta berkumpul di lobi selama sejam sebelum dibenarkan kembali ke bilik masing-masing selepas keadaan disahkan selamat.
Sumber: Sinar Daily
