Selalu sangat kita dengar berkenaan kisah curang melibatkan golongan suami menipu isteri mereka dan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Namun nasib malang seperti ini tidak hanya menimpa golongan isteri sahaja, ada juga golongan suami yang dihadapkan dengan isu kecurangan isteri mereka.
“Kau sanggup buat suami macam tu”
Sebuah organisasi membanteras kemiskinan, ARBA Foundation, baru-baru ini ada berkongsi kisah sedih seorang lelaki yang dicurangi oleh isterinya di dalam rumah sendiri.
Menurut lelaki yang digelar sebagai Encik Asmadi ini, kecurangan isterinya terbongkar apabila dia yang baru pulang ke rumah dari kerja terkejut apabila ternampak isterinya bersama lelaki lain di belakang pintu rumah.
Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku ketika anak-anak mereka yang masih kecil ada di rumah.
“Balik kerja ni, penat-penat, tiba-tiba ada jantan lain belakang rumah. Kau sanggup buat suami macam tu?
“Saya bertungkus lumus cari duit, saya sanggup berhutang dengan ceti pasal nak membesarkan anak. Dia tak pernah bekerja, duduk rumah saja saya minta jaga anak-anak.
“Saya balik kerja, macam tu dia buat saya? Anak yang kecik tu bagitahu saya,” katanya dengan penuh rasa hiba.
Isteri rupanya dera anak
Setelah kecurangannya terbongkar, si isteri kemudian meminta Encik Asmadi menceraikannya dan membawa anak-anak mereka bersama pulang ke Kedah.
Walau bagaimanapun, lelaki ini dikejutkan dengan panggilan dari ahli keluarga yang memberitahu bahawa isterinya telah mendera anak-anak mereka.
Abang ipar saya telefon, dia cakap kau ambil anak-anak kau, bini kau dera anak-anak. Saya dengar malam tu juga saya ambil bas terus pergi ke Kedah,” katanya sebak.
https://www.instagram.com/p/CrKjfv9Lxx2/
Tambah Asmadi lagi, dia mengalami kesukaran dalam membesarkan anak-anak dek kerana kekurangan sumber kewangan.
Walau bagaimanapun, dia sanggup berusaha lebih keras lagi kerana tidak sanggup melihat anak-anak menahan kelaparan.
Saya cakap terus terus terang, demi Allah saya cakap… Biar saya tak makan, takpe. Saya nak anak-anak saya (makan). Tu saja,” katanya lagi.
Menurut ARBA, Encik Asmadi telah membesarkan anak-anaknya seorang diri selama 9 tahun selepas kes kecurangan isterinya terbongkar.
Dia kini bekerja sebagai tukang sapu sampah dan terpaksa menanggung beban hutang pada ceti serta menyara anak-anak dengan gaji yang kurang daripada RM2,000.
Video berkenaan telah mendapat pelbagai respon netizen yang simpati dengan nasib bapa tunggal tersebut dan ingin membantu sebaik yang mungkin.
Dalam pada itu, pihak NGO tersebut juga memaklumkan bahawa Encik Asmadi berterima kasih atas kemurahan hati semua pihak yang sudi menyumbang dan berharap maklumat peribadinya dilindungi demi menjaga hati anak-anaknya.
https://www.instagram.com/p/CrNBbePpL_w/
Bagi yang nak menderma di hujung-hujung Ramadan ini, bolehlah ke Instagram rasmi ARBA Foundation untuk maklumat lanjut.