Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh barakah dan di bulan ini, umat Islam berlumba-lumba untuk beribadah kerana syafaatnya yang tinggi.
Sebuah insiden menyayat hati berlaku di bulan mulia ini dimana seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat terawih di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, Kedah.
Difahamkan, Allahyarham Zamri Saad yang berusia 51 itu rebah ketika solat tarawih sebelum disahkan meninggal dunia di masjid itu. Isterinya, Rohani Mohd Noor pula berkata, dia hanya mengetahui bahawa suaminya meninggal selepas dimaklumkan abang iparnya.
Menerusi laporan Astro AWANI, isterinya dikatakan mendapat tahu tentang berita tersebut ketika abang iparnya datang ke rumah mereka dan memberitahu bahawa suaminya telah pengsan, isterinya kemudian mengajak anaknya untuk ke masjid berkenaan dan setibanya mereka di sana, suaminya itu disahkan meninggal dunia.
“Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami saya tergerak hati berbuka puasa di masjid. Tidak sangka arwah akan dijemput Ilahi ketika sedang solat tarawih di masjid itu.
Sebelum itu, suami ada mengajak saya untuk solat tarawih di masjid itu, namun saya menolak kerana mahu solat di surau berhampiran rumah kami,” katanya.
Selain itu, Rohani menyatakan arwah sentiasa bangun malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehingga waktu bersahur sepanjang Ramadan setiap tahun dan dia juga berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun reda dengan pemergian arwah.
“Anak-anak telah membeli baju raya warna sedondon untuk menyambut Hari Raya, namun arwah sudah pergi dahulu, ” katanya.
Salam Takziah, semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman.
Baca: Sudah Seperti Acara Tahunan, Israel Sekali Lagi Serang Masjid Al Aqsa Pada Bulan Ramadan