Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden merupakan perdana menteri termuda pernah dilantik di negara tersebut. Dia menjadi sebutan bila melahirkan anaknya semasa menjadi PM dan pernah membawa bayinya ke Mesyuarat Negara Bersatu.
Sebelum ini, ramai mempersoalkan ‘kekuatannya’ sebagai perdana menteri, namun perkara ini terjawab bila dia membuktikan kekuatannya sebagai ketua negara ketika tragedi tembakan rambang di dua masjid di Christchurch berlaku pada Jumaat lalu.
Hanya beberapa jam selepas insiden hitam ini berlaku, Jacinda telah membuat sidang media untuk memberitahu tentang kesedihan yang melanda negara itu.
Pada pagi Sabtu pula, dia telah turun padang bersama ahli kabinet dan pihak pembangkang untuk berjumpa dengan komuniti muslim yang terkesan dengan tragedi ini untuk memberikan sokongan.
Tak cukup dengan itu, menurut ABC dia telah menunjukkan sikap dedikasinya terhadap insiden ini dengan memberikan ucapan pembukaan menyentuh hati dan tegas di sidang parlimen pagi tadi.
Assalamualaikum, Tuan Speaker. Salam sejahtera ke atas kamu dan salam sejahtera ke atas kita semua,
Tuan Speaker, tanggal 15 Mac akan sentiasa berada dalam ingatan kita.
Pada tengahari Jumaat yang tenang, seorang lelaki telah menyerang sebuah tempat mulia dan mengambil nyawa seramai 50 orang.
Hari Jumaat itu merupakan hari paling hitam bagi kita.
Tapi, untuk keluarga mangsa, ia lebih dari itu.
Hari untuk mereka menunaikan kewajipan mereka sebagai seorang Muslim telah membawa kepada tragedi kehilangan nyawa orang yang mereka sayang.
Orang yang mereka sayang itu adalah abang, bapa, adik, anak mereka.
Mereka adalah rakyat New Zealand. Mereka adalah kita.
Kerana mereka adalah kita, kita sebagai negara turut meratapi kehilangan mereka.
Kita rasa ini adalah tanggungjawab kita untuk menjaga mereka. Dan, kita ada banyak perkara yang kita perlu cakap dan lakukan.
Salah satu peranan yang saya tak pernah terfikir untuk lakukan dan tak berharap untuk lakukan adalah untuk menyuarakan kesedihan negara.
Dan kerana peranan ini, saya nak bercakap secara langsung dengan keluarga mangsa.
Kami tak akan tahu kesedihan yang anda lalui tapi kami akan ada bersama anda untuk melalui kesedihan ini.
Kami akan berikan anda rasa kasih dan bantuan yang menjadikan diri kita manusia.
Tuan Speaker, enam minit selepas panggilan 111 dibuat tentang tembakan di masjid Al-Noor, polis telah tiba di tempat kejadian.
Tangkapan juga merupakan perbuatan yang berani.
Dua pegawai polis negara telah melanggar kenderaan yang digunakan oleh pesalah ketika dia masih menembak.
Mereka membuka pintunya yang penuh dengan bahan letupan dan menariknya keluar.
Kita semua berterima kasih dengan keberanian yang mereka tunjukkan untuk memastikan keselamatan penduduk lain.
Tapi, bukan mereka saja yang menunjukkan keberanian luar biasa.
Naeem Rashid, asalnya dari Pakistan telah mati selepas dia berlari ke arah pengganas dan cuba untuk mengambil senapang dari tangannya.
Dia hilang nyawanya semasa cuba untuk menyelamatkan orang yang sedang menunaikan ibadah bersamanya.
Abdul Aziz dari Afghanistan telah berdepan dengan pengganas bersenjata dengan hanya bersenjatakan mesin eftpos.
Dia telah mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan ramai nyawa lain.
Kepada responden pertama, staf ambulans dan pakar kesihatan yang telah membantu dan masih membantu mangsa yang cedera, kami ucapkan ribuan terima kasih.
Selepas bercakap tentang tragedi hitam yang melanda Muslim di New Zealand, Jacinda meneruskan ucapannya dengan bercakap tentang individu yang didakwa bertanggungjawab atas tragedi ini.
Tuan Speaker, ada seorang individu yang bertanggungjawab dengan keganasan kepada komuniti Muslim di New Zealand.
Seorang lelaki berusia 28 tahun, warganegara Australia. Dia telah didakwa dengan satu tuduhan membunuh dan dakwaan lain akan diumumkan kelak.
Dia akan menerima hukuman terberat dalam undang-undang New Zealand dan keluarga mangsa terkorban akan mendapat keadilan.
Dia inginkan banyak perkara dari perbuatan ganasnya ini, salah satu darinya adalah untuk menjadi terkenal.
Kerana ini anda tak akan dengar saya sebut nama dia.
Dia seorang pengganas. Seorang penjenayah. Seorang ekstremis.
Tapi bila saya bercakap, dia akan menjadi seorang individu tak bernama.
Dan untuk orang lain, saya mohon untuk anda sebut nama mangsa berbanding nama orang yang membuat angkara ini.
Dia mungkin mahu menjadi terkenal, tapi kita di New Zealand tak akan beri dia apa-apa termasuk namanya.
Pembukaan sidang parlimen ini juga telah diikuti dengan bacaan doa dari Imam Nizam ul haq Thanvi yang turut menitiskan air mata beberapa ahli parlimen.
Kepimpinan Jacinda ini jelas menunjukkan sikap bersatu-padu penduduk di New Zealand walaupun mereka berlainan bangsa dan agama. Nampaknya pemimpin sebenar masih wujud.