Pernahkah anda tertanya-tanya, apakah keinginan atau lebih tepat lagi permintaan terakhir seseorang yang mengetahui dia akan menghembuskan nafas terakhir?
Baru-baru ini, BBC News, telah berkongsi video pendek hasil kerjasama dengan jururawat yang mendedahkan keinginan pesakit mereka sebelum mati.
Melalui video yang berdurasi 3 minit 14 saat itu, jururawat-jururawat di Unit Penjagaan Paliatif Macmillan dari Hospital Universiti Royal Stoke telah berkongsi permintaan terakhir pesakit-pesakit mereka sebelum mati.
Mstar melaporkan salah seorang jururawat di situ berkata sesetengah pesakit meminta untuk melihat dan berjumpa dengan haiwan peliharaan mereka buat kali terakhir. Bukan itu sahaja, ada juga yang mengidam untuk minum air teh.
Salah seorang jururawat di situ dapat menyaksikan pasangan suami isteri yang sama-sama sakit tenat meminta supaya katil mereka diletakkan bersebelahan. Dalam keadaan berpegangan tangan, mereka akan menyanyikan lagu Slow Boat to China bersama-sama.
Jururawat itu juga berkongsi pengalaman di mana pesakit-pesakit telah ‘meramal’ waktu kematian mereka.
Ada seorang pesakit yang memberitahu dia akan mati selepas menyambut hari lahirnya yang ke-80. Dan dia memang betul-betul meninggal pada usia 80 tahun,” cerita salah seorang jururawat.
Mereka juga menceritakan tentang seorang pesakit yang dalam keadaan separa sedar memberitahu yang dia tidak takut mati kerana dapat melihat syurga.
Selain memberitahu permintaan terakhir mereka, ada juga dalam kalangan pesakit-pesakit itu yang turut memberikan nasihat kepada jururawat yang menjaga mereka. Antara nasihat mereka ialah untuk lakukan perkara yang membuatkan kita gembira kerana hidup ini adalah singkat. Betul tu!
Antara perkongsian yang menyayat hati adalah apabila pesakit memberitahu kepada jururawatnya yang dia telah bekerja keras sepanjang hidup supaya dapat bersenang lenang melakukan apa yang dimahukan selepas bersara. Tetapi malangnya dia jatuh sakit dan tidak dapat mengejar apa yang diimpikan.
Sedih juga kisah ni sebenarnya. Harapnya kita semua mati dalam keadaan yang baik dengan dikelilingi orang-orang yang kita sayang, diiringi doa daripada mereka.
Baca: Jururawat Dalam Perjalanan Ke Tempat Kerja Berhenti Untuk Bantu Mangsa Kemalangan Dipuji Netizen