Sehingga kini, masih tiada jawapan yang jelas akan apa puncanya kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 orang pelajar dan guru awal pagi semalam.
Menurut Utusan Online, isu punca kebakaran ini timbul apabila punca asal iaitu litar pintas yang dikatakan mengakibatkan kebakaran telah disangkal Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas mereka menjalankan siasatan.
Menerusi siasatan pihak bomba, kotak fius di asrama tersebut berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda yang menunjukkan litar pintas berlaku. Namun kini timbul dakwaan yang menyatakan tragedi tersebut berpunca dari letupan tong gas.
Dari mana datangnya tong gas kuning?
Elemen mencurigakan ini mula disedari apabila ada di antara mangsa yang terselamat terlihat akan kewujudan dua tong gas kuning di luar bilik asrama mereka.
Salah seorang dari tenaga pengajar dan warden pusat tahfiz, Mohd Arif Mawardi, mengaku bahawa sebelum tidur pada jam 11 malam, tong gas berkenaan tidak dilihat berada di mana-mana berdekatan pintu asrama di tingkat 3 ataupun berhampiran dengan tangga semasa dia melakukan pemeriksaan.
“Ketika kebakaran berlaku saya tidur di tingkat 2, bersama tiga lagi kakitangan dan terdengar bunyi kuat seakan ribut dipercayai kesan dari tong gas yang terbakar.
“Bagaimanapun saya pelik apabila naik untuk cuba menyelamatkan pelajar dan guru saya dapati ada dua tong gas warna kuning di tangga berhampiran pintu bilik asrama,” katanya kepada Berita Harian.
Malah Mohd Arif sendiri berasa pelik bagaimana dua buah tong gas berwarna kuning berkenaan ada di hadapan pintu asrama walhal empat tong gas berwarna hijau milik pusat tahfiz ada diletakkan di dapur tingkat bawah. Misteri bukan?
Bukan nak kaitkan dengan punca kebakaran yang berlaku tapi berkemungkinan tidak seteruk ini sekiranya tong gas berkenaan tiada di situ.”
Mungkinkah wujud unsur khianat?
Hasil siasatan daripada Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga melaporkan bahawa terdapat kepelikan dari cara api merebak di dalam pusat tahfiz tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman,
“Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.”
Sementara itu, mangsa yang terselamat juga memberitahu kebakaran bermula dari luar bangunan pintu asrama yang menyebabkan mereka terperangkap. Dua tong gas itu juga boleh menjadi punca mengapa api menjadi lebih besar dan cepat merebak.
Menurut Khirudin, dia percaya terdapat ‘unsur lain’ yang menyebabkan kebakaran berlaku. Biasanya jikalau api bermula dari dalam, bilangan yang terkorban tidak begitu ramai kerana mereka masih mampu keluar. Tetapi apabila api sudah marak di luar pintu, sebab itulah mereka terperangkap. Ya Tuhan…. kasihan!
Pun begitu, sehingga setakat ini masih belum ada jawapan pasti mengenai tragedi ini. Pihak polis dan bomba masih giat menjalankan siasatan.
Marilah kita berdoa supaya tiada unsur-unsur yang tidak diingini menyebabkan kebakaran tersebut berlaku. Jika benar tragedi berpunca dari khianat, semoga ‘individu itu’ mendapat balasan yang setimpal!
Baca: Jika Pintu dan Tingkap Rumah Anda Berjeriji Besi, Baca Ini Sebagai Langkah Keselamatan