Baru-baru ini, hangat diperkatakan mengenai dakwaan sebuah buku yang diterbitkan mempunyai unsur plagiat, yang mana karya itu baru-baru ini menerima Anugerah Buku Negara daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).
Walau bagaimanapun, karya itu difahamkan telah menerima surat notis penarikan susulan dakwaan berlaku unsur plagiat terhadap karya yang dipertandingkan.
Menurut perkongsian penulis terkenal, Sri Diah Shaharuddin, surat rasmi yang dikeluarkan sekretariat pertandingan itu memaklumkan bahawa keputusannya selaku penganjur untuk membatalkan kemenangan penerbit Casamas Resources Sdn Bhd, selepas karya itu menjadi pertikaian umum dan mendapat bantahan keluarga Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E.
Artikel berkaitan: “Sudah meninggalkan kita semua” – Cikgu E Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: “Kalau rindu, pandang langit dan senyum…” – Status Terakhir Cikgu E Untuk Keluarga Buat Ramai Sebak
Waris Cikgu E anggap ia tindakan yang tepat
Keputusan yang dibuat YBPN berkenaan penarikan balik Anugerah Buku Negara itu telah terima baik oleh waris Allahyarham Cikgu E yang mana dianggap sebagai satu keputusan yang tepat.
Isteri Allahyarham, Nor Azlina Mohd Ali berkata, naskhah berkenaan tak menggambarkan sepenuhnya perjuangan Cikgu E melawan kanser buah pinggang, kelenjar dan paru-paru sebelum menghembuskan nafas terakhir bulan lalu.

Perkara ini awalnya diberitahu abang ipar berkaitan ada buku diterbitkan atas nama Cikgu E hingga menjadi kontroversi pada pesta buku, baru-baru ini dan semalam (Rabu), dimaklumkan ada penarikan pengiktirafan itu. Saya rasa itulah sepatutnya dibuat.
“Secara jujurnya, saya berterima kasih kepada semua pihak, rakan cikgu yang berusaha kerana ada baca sedikit naskhah ini dan tidak menggambarkan sepenuhnya apa yang ada pada arwah. Malah, nilai kasih sayang ditulis tidak dapat dizahirkan dengan baik,” katanya.

Kata Nor Azlina lagi, beliau juga ada menerima permintaan dan menyambut baik usaha pihak mahu menerbitkan naskhah kehidupan Cikgu E yang boleh memberikan inspirasi kepada pejuang kanser lain.
Ada rakan yang juga penulis merancang, meminta persetujuan dan kebenaran menulis dan saya tidaklah menolak. Tetapi biarlah dibincangkan dengan betul-betul. Kalau boleh, biarlah orang terdekat yang sama-sama mengikuti perjalanan arwah menulis supaya tidak timbul isu menyentuh sensitiviti.
“Terbitan buku bukan berdasarkan keuntungan semata-mata, malah memberi pahala bagi saya tiada masalah. Saya tidak mahu menyekat perkara boleh memberi kesan positif, tetapi biarlah penulis itu individu yang betul-betul mengenali Cikgu E,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian
