Semalam, kes perbicaraan pengabaian kanak-kanak autistik Zayn Rayyan diteruskan dengan saksi memaklumkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bahawa Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tak dapat mengesan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin semasa melakukan pencarian di sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai pada pagi hari kedua kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Saksi pendakwaan ke-20 yang merupakan anggota unit K9 Bukit Aman, Lans Koperal Aznizam Bah Jada, 29, berkata, dia bersama tiga lagi anggota unit K9 dan dua anjing, tak menemui sebarang hasil ketika pencarian di sekitar tebing aliran air sungai sehingga ke kawasan takungan air berdekatan Blok R Apartment Idaman pada 5 Disember 2023.
Pada 11 pagi (6 Disember 2023) saya bersama seorang lagi anggota dan dua pegawai daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya melihat kawasan dikatakan ada orang hilang yang lari masuk ke hutan.
“Kami lakukan pencarian di kawasan tebing sungai hingga ke titi hulu sungai sebelum melintasi ke blok R apartmen itu, namun tiada sebarang indikasi (petunjuk) oleh anjing saya.
“Ketika itu lebih kurang 20 penduduk yang kebanyakan budak, orang dewasa, orang tua sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari orang hilang,” katanya.
Artikel berkaitan: “Seolah-olah melepaskan diri dari seseorang” – Pengasuh Yakin Dengar Suara Zayn Rayyan
Artikel berkaitan: “Macam main kejar-kejar” – Saksi Lihat Dua Budak Bermain Pada Hari Zayn Rayyan Hilang
Cuaca terang, panas, tak ada gangguan untuk jalankan tugas
Kata saksi lagi, semasa misi pencarian kanak-kanak tersebut, keadaan cuaca terang, panas dan tak ada gangguan untuk pihaknya menjalankan tugas di kawasan itu termasuk di blok R.
Bila ditanya peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu mengapa saksi tidak membuat pemeriksaan menggunakan anjing pengesan di setiap tingkat pangsapuri, dia memberitahu bahawa anggota tersebut tidak menerima arahan dan hanya memeriksa kawasan bahagian bawah rumah.
Aznizam juga berkata, dia bersama pasukannya hadir ke lokasi kejadian di apartmen berkenaan sekitar jam 10.30 pagi sebelum berjumpa dengan pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip yang memaklumkan tentang maklumat daripada penduduk yang ternampak Zayn Rayyan lari memasuki kawasan hutan dekat apartmen itu.
Saya kemudian meminta dengan beliau (Nor Zaharuddin) pakaian kanak-kanak (Zayn Rayyan) hilang itu yang masih belum dicuci. Saya kemudian memasukkan baju itu ke dalam plastik ‘wrapping’ selama 30 minit untuk mengeluarkan wap peluh baju itu.
Kemudian saya beri anjing kendalian saya untuk cium bau baju itu dan mengikut ke mana (anjing) K9 saya bawa. Saya bersama seorang lagi anggota unit K9 dan dua lagi pegawai IPD Petaling Jaya menjejaki kawasan yang dikatakan Orang Hilang (OH) lari masuk ke dalam hutan.
“Selepas itu, kami melakukan pencarian di kawasan tebing sungai sehingga ke tempat air longkang jatuh. Kemudian saya patah balik dan pergi ke tempat yang ada tanaman pokok nanas dan pokok pisang,” katanya.
Kamarul Iman: Apa hasil pencarian pada hari itu?
Aznizam: Hasil pencarian, anjing saya tidak memberikan sebarang indikasi positif di kawasan itu.
Kamarul Iman: Berapa lama pencarian dibuat oleh kamu ketika itu?
Aznizam: Lebih kurang sejam lebih.
Kamarul Iman: Keadaan cuaca dan sekeliling ketika itu?
Aznizam: Cuaca terang dan panas, dan kawasan itu sunyi. Tiada apa-apa yang mengganggu urusan saya melakukan tugasan.
Kamarul Iman: Keadaan orang ramai ketika itu? Lebih kurang berapa ramai?
Aznizam: Lebih kurang 20 orang yang sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari OH. Kebanyakan budak-budak dan dewasa lelaki.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung lagi Jumaat ini, sementara hakim dan pihak-pihak terbabit akan ke lokasi kejadian di Apartment Idaman pada hari ini.
Sumber: Harian Metro