Ingat tak lagi tragedi yang merobek hati kita semua, kisah bayi 8 bulan yang meninggal dunia di tangan pengasuh.
Bayi yang bernama Muhammad Al Fateh maut dalam keadaan menyayat hati di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) Taman Kelemak Utama, Alor Gajah pada September tahun lalu.
Lebih memilukan, ibu bapa bayi berkenaan Mohd Fikri Amri dan Sabrina Hakiem Zaini rupanya baru pertama kali menerima cahaya mata setelah 13 tahun penantian.
Walaupun peristiwa tersebut telah berlalu enam bulan lepas, tetapi ibu bapa mangsa tidak dapat melupakan tragedi hitam berkenaan seumur hidup.
Artikel berkaitan: Selepas Pemergian Anak, Bapa Al-Fateh Tekad Pindah Ke Pangkuan Keluarga Setelah 14 Tahun Berjauhan
Artikel berkaitan: Bapa Bayi 8 Bulan Yang Maut Di Taska Dedah Pengasuh Bedung, Sumbat Botol Susu Dan Tekup Mangsa Dengan Bantal
Tunku Azizah beri tajaan IVF
Bagaikan pelangi selepas hujan, pasangan ini mendapat berita gembira apabila mendapat tajaan untuk melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) daripada Tengku Ampuan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
“Saya terima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada bulan lalu berkenan memberikan tajaan IVF berikutan kematian anak kami di rumah pengasuh pada tahun lepas.
“Saya agak terkejut kerana kes kematian anak saya ini mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang dan kami sangat bersyukur kerana diberi peluang dan menerima tawaran ini.
“Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al Fateh selama lapan bulan sahaja,” kata Mohd Fikry.
Walaupun kedua-duanya telah pun mencapai usia 40 tahun tetapi mereka menaruh harapan tinggi agar rawatan ini berjalan dengan lancar dan dikurniakan cahaya mata kedua bagi mengubati kerinduan di atas kehilangan sebelum ini.
“Saya berfikir positif. Allah telah memberi saya peluang mengandung, menyusu dan menjaga anak sendiri. Saya berdoa IVF ini berjaya dan kami harap akan sekali lagi diberi peluang untuk menjaga anak insya-Allah,” ujar Sabrina.
Insya-Allah, semoga pasangan ini dikurniakan zuriat sekali lagi. Amin…
Sumber: Sinar Plus