Tindakan seorang wanita berjalan kaki tanpa kasut dengan memegang sepanduk di Ipoh, Perak telah mengundang perhatian netizen apabila dia dimaklumkan berbuat demikian demi menuntut keadilan kematian anak pada April lepas.
Menurut The Star, D. Nilaveni, 40, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki, V. Thanes Nair berusia 4 tahun ini berbuat demikian selepas anaknya dilaporkan mati lemas di dalam kolam renang di Bandar Baru Sri Klebang.
Ibu dakwa pihak tadika anak cuai
Menurut Nilaveni, kematian anaknya itu dikatakan berpunca daripada kecuaian pihak tadika yang pada masa yang sama tidak mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.
Anaknya dilaporkan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 10.35 pagi, 17 April iaitu hari insiden berlaku, sebelum disahkan disahkan meninggal dunia pada Ahad, 23 April lepas.
Saya hantar anak saya ke tadika pada jam 9 pagi dan pada jam 10.45 pagi, saya dapat panggilan dari seorang cikgu menyatakan bahawa anak saya telah jatuh dan meminta saya ke Klinik Kesihatan Chemor.
“Bila saya tiba di klinik, anak saya dalam keadaan kritikal dan tidak memberi sebarang respon.
“Doktor memberitahu yang anak saya berada di dalam air dalam tempoh yang agak lama dan mereka akan menghantarnya ke hospital,” kata ibu berkenaan dalam satu kenyataan, Ahad lepas.
Menurut ibu mangsa lagi, punca kematian anaknya disahkan sebagai mati lemas. Ketika di hospital juga doktor difahamkan terpaksa melakukan pembedahan otak terhadap anaknya (18 April) sehari selepas diwadkan namun anaknya tidak pernah sedar sejak dari itu.
Saya nak tahu kenapa tiada sesiapa daripada tadika tersebut telefon saya ketika insiden itu berlaku.
“Kenapa saya hanya dapat panggilan pada jam 10.45 pagi, ia ketika kelas sepatutnya berakhir.
“Saya berharap polis akan menyiasat tentang hal ini,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis katanya telah menerima laporan daripada Nilaveni dan siasatan kini sedang dijalankan.
Pihak pengurusan tadika itu juga telah mengeluarkan satu kenyataan meluahkan rasa sedih mereka atas kematian budak berumur 4 tahun itu akibat mati lemas. Insiden berkenaan juga katanya berlaku di sebuah rumah kelab bersebelahan tadika itu.
“Kami dapat sahkan bahawa Thanes pada ketika itu sedang menjalani kelas percubaan di sekolah kami apabila kejadian itu berlaku sekitar jam 10 pagi pada hari tersebut.
“Pihak pengurusan dan staf tadika sedang bekerjasama dengan pihak polis dan telah memberi kenyataan serta bukti termasuk rakaman CCTV kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berkaitan kes ini.
“Kami juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Thanes, terutama sekali kepada ibu bapanya dan akan terus mendoakan mereka,” kata pihak tadika itu.
Harap ibu bapa anak ini bertabahlah dengan dugaan yang menimpa dan semoga mendapat keadilan yang selayaknya.
Baca: Bayi Lelaki Setahun 7 Bulan Lemas Lepas Terjatuh Dari Pelampung Bersama Bapa