Trending di Netflix tentang dokumentari Chris Watts, lelaki yang telah membunuh isteri dan dua anak kecilnya. Kisah benar ini menarik perhatian ramai penonton kerana ia menggunakan rakaman sebenar dan bukan lakonan semula.
Bagi korang yang tak tahu, ini kisah benar Chris Watts, diceritakan dalam dokumentari bertajuk American Murder: The Family Next Door.
Siapa Chris Watts?
Christopher Lee Watts berasal dari North Carolina dan telah mendirikan rumah tangga bersama Shan’ann Cathryn Watts pada 3 November 2012. Pasangan ini memiliki dua anak perempuan, Bella Marie Watts dan Celeste Cathryn “Cece” berusia 5 tahun dan 3 tahun (ketika kejadian).
Mereka tinggal di sebuah banglo lima bilik terletak di Frederick, Colorado dan ketika kejadian, Shan’ann dilaporkan sedang hamil 15 minggu. Chris bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas bernama Anadarko Petroleum manakala Shan’ann pula bekerja sendiri dalam bisnes MLM untuk syarikat Le-Vel.
Shan’ann & 2 anak tiba-tiba hilang
Pada 13 Ogos 2018, Shan’ann pulang dari business trip di Arizona dan sampai rumah kira-kira jam 1.48 pagi, dihantar oleh rakannya bernama Nickole. Kemudiannya, pada waktu siang Shan’ann tidak dapat dihubungi dan Nickole membuat keputusan untuk ke rumah mereka.
Sebaik tiba, Nickole cuba memanggil Shan’ann namun tidak mendapat respon membuatkannya menghubungi talian kecemasan. Selepas anggota polis tiba, mereka hubungi pula Chris yang ketika itu berada di tempat kerja.
Kesemua mereka kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati ketiga-tiganya tiada di dalam. Bagaimanapun polis mendapati tiada kesan-kesan ‘force entry’. Mereka turut menemui beg, kunci, cincin kahwin dan telefon milik Shan’ann. Car seats kedua-dua anak mereka juga turut dijumpai masih berada di dalam kereta Shan’ann di dalam garaj.
Chris memberitahu polis kali terakhir dia nampak isterinya adalah pada jam 5.15 pagi hari yang sama iaitu sebelum dia keluar pergi kerja.
Gagal polygraph test, kantoi
Kisah kehilangan 3 sekeluarga itu menjadi buah mulut penduduk sekitar dan akhirnya menjadi topik hangat satu negara sehinggakan ramai wartawan ‘bersidai’ di depan rumah pasangan tersebut untuk dapatkan berita terkini. FBI dan pihak penyiasat Colorado bersatu dalam mencari Shan’ann, Celeste dan Bella.
Semuanya terbongkar apabila Chris dilaporkan gagal ujian polygraph dan akhirnya buka mulut menceritakan kisah sebenar kepada bapanya.
Bunuh isteri, 2 anak demi bersama perempuan simpanan
Chris ditahan polis selepas membuat pengakuan pada 15 Ogos 2018 bahawa dia sendiri telah mencekik isterinya hingga mati di atas katil bilik tidur mereka.
Difahamkan, sebelum kejadian pasangan itu bertengkar di mana Chris beritahu pada Shan’ann dia mahu berpisah. Isterinya itu kemudian berkata jika mereka bercerai, Chris tidak akan dibenarkan berjumpa dengan dua anak kecil mereka.
Chris kemudian terus mencekik Shan’ann dan melalui pengakuannya, dia menuduh Shan’ann sendiri telah membunuh Celeste dan Bella, so sebab itulah dia terpaksa bunuh Shan’ann.
Namun akhirnya, dia mengaku telah membunuh Shan’ann terlebih dahulu dan membawa mayatnya ke kawasan lapang tempat penyimpanan minyak di mana dia bekerja. Sebaik tiba di tempat itu, barulah dia membunuh kedua-dua anaknya. Mayat Shan’ann telah ditanam di kawasan berdekatan manakala dua anaknya itu dicampak ke dalam tangki penyimpanan minyak tersebut.
Semua ini dilakukan Chris demi memulakan hidup barunya bersama perempuan simpanan yang juga merupakan rakan sekerjanya, Nichol Kessinger.
Ambil gambar anak-anak sebelum bunuh
Menurut DailyMail, beberapa jam sebelum membunuh dua anak kecilnya, Chris mengambil gambar mereka dan hantar kepada Shan’ann yang berada di Arizona ketika itu.
Gambar kanak-kanak itu kemudian didedahkan selepas kes selesai dibicarakan dan mula viral di internet dan media sosial. Bella dan Celeste dilihat sedang menikmati snek mereka sambil bermain dengan anjing keluarga itu.
Mengaku bersalah, terlepas hukuman mati
Chris didakwa dengan sembilan pertuduhan iaitu:
- tiga tuduhan pembunuhan kelas pertama
- dua tuduhan pembunuhan kelas pertama kanak-kanak di bawah umur 12 tahun
- tiga tuduhan menjejaskan mayat
- tuduhan menamatkan kehamilan
Chris mengaku bersalah di atas lima pertuduhan bunuh kelas pertama dan pengakuan itu membuatkan dia terselamat daripada hukuman mati sebaliknya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang parol.
Korang boleh tonton dokumentari kes Chris Watts ni di Netflix. Memang geram tengok muka ‘buat-buat tak tahu’ dia tu. Boleh pura-pura terkejut isteri dengan anak hilang padahal baru je lepas bunuh beberapa jam sebelum.
Tonton trailer di bawah:
Baca: 13 Reasons Why: 7 Sebab Kenapa Ramai Suka Tonton Siri Netflix Ini