Amelia Earhart merupakan seorang lagenda dalam dunia penerbangan. Dia telah mencipta beberapa rekod sepanjang menjadi seorang juruterbang dan mahu menjadi wanita pertama yang berjaya terbang di seluruh dunia. Bagaimanapun, Amelia Earhart telah meninggal dunia ketika percubaan tersebut.
Ketika membuat ekspedisi penerbangan ke seluruh dunia, Amelia Earhart dan penunjuk arahnya, Fred Noonan bersama kapal terbang yang dinaiki telah hilang selama-lamanya. Menurut laporan rasmi, mereka telah kehabisan minyak, terhempas ke dalam lautan dan mati lemas.
Namun sejak kehilangan misterinya ini, beberapa teori telah timbul mengenai kematian Amelia. Ada yang mendakwa Amelia dan Fred telah terselamat di sebuah pulau terpencil, ada yang mengatakan mereka telah ditangkap oleh Jepun dan ada juga teori mengatakan Amelia dan Fred telah diambil untuk menjadi pengintip dan pulang dengan selamat ke Amerika Syarikat tapi meneruskan kehidupan mereka dengan menggunakan nama samaran.
Apa sebenarnya yang berlaku disebalik misteri kehilangan Amelia Earhart ni? Jom baca!
Macam mana Amelia Earhart boleh jadi pilot yang diraikan?
Amelia Earhart telah dilahirkan pada 24 Julai 1897 di Atchison, Kansas. Sejak kecil, Amelia tertarik dengan hobi-hobi mencabar seperti memburu, menaiki kereta luncur dan memanjat pokok. Pada 1920, minat Amelia untuk menjadi juruterbang telah timbul selepas dia menghadiri pertunjukan udara dan dapat terbang bersama seorang juruterbang.
Amelia telah mula belajar untuk terbang dan dalam masa enam bulan, wanita ini telah menggunakan wang simpanan dari kerja-kerja sampingan yang dilakukan untuk membeli kapal terbangnya sendiri pada 1921. Kapal terbang pertamanya itu dinamakan “Canary”.
Amelia kemudiannya mula memecahkan beberapa rekod, dia telah menjadi wanita pertama yang berjaya terbang solo merentasi Amerika Utara pada 1928, mencipta rekod altitud dunia bila dia berjaya terbang setinggi 18,415 kaki dan menjadi wanita pertama berjaya terbang solo merentasi lautan Atlantik pada 1932.
Kejayaan Amelia ini telah mengagumkan ramai orang sehingga dia telah dijemput untuk ke White House. Tapi juruterbang terkenal ini mahukan sesuatu yang lebih besar lagi. Pada 1937, Amelia telah memulakan misinya untuk mengelilingi dunia.
Namun harapan Amelia untuk mencipta legasi sebagai seorang juruterbang tak kesampaian, malah dia telah menjadi subjek misteri kehilangan terbesar abad ke-20 dengan rata-rata orang mahu tahu apa yang berlaku kepada Amelia Earhart selepas kehilangannya dan bagaimana dia meninggal dunia. Sehingga hari ini, persoalan-persoalan ini masih kekal misteri.
Perjalanan Amelia Earhart yang berakhir dengan tragedi
Menurut NASA, Amelia pada awalnya telah merancang untuk terbang dari timur ke utara. Amelia telah memulakan penerbangannya dari Oakland, California ke Honolulu, Hawaii pada 17 Mac 1937. Kapal terbang yang dibawanya itu sepatutnya turut melibatkan tiga lagi krew lain iaitu penunjuk arah Fred Noonan, Kapten Harry Manning dan juruterbang lagak ngeri Paul Mantz.
Namun, apabila krew ini cuba untuk meninggalkan Honolulu untuk meneruskan perjalanan mereka tiga hari kemudian, terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkan perjalanan ini terpaksa dibatalkan serta merta. Ketika pelepasan, kapal terbang yang mereka naiki telah berpusing di tanah sehingga menyebabkan ia perlu diperbaiki sebelum digunakan kembali.
Ketika pesawat tersebut telah siap untuk digunakan semula, Kapten Harry dan Paul telah berundur dari misi tersebut meninggalkan Amelia dan Fred untuk meneruskannya. Pada 20 Mei, Amelia dan Fred telah memulakan kembali perjalanan mereka dari Oakland namun kali ini mereka telah terbang dari barat ke timur dan mendarat di Miami, Florida sebagai hentian pertama mereka.
Dari sana, perjalanan mereka berjalan dengan lancar. Amelia telah terbang dari Amerika Selatan ke Afrika dan seterusnya ke Asia Selatan sambil mengirimkan khabar ke akhbar Amerika menceritakan mengenai pengembaraannya bersama Fred Noonan di tempat asing.
Tiga hari kemudian, pada 2 Julai 1937, Amelia dan Noonan telah meninggalkan New Guinea untuk pergi ke Pulau Howland yang terpencil di lautan Pasifik. Ia sepatutnya menjadi hentian terakhir mereka sebelum mereka tiba semula ke Amerika Syarikat. Setelah selesai menjelajah sejauh 22,000 batu, Amelia dan Fred tak sempat menghabiskan misi mereka yang hanya tinggal 7,000 batu.
Sekitar jam 7.42 pagi waktu tempatan, Amelia telah menghubungi radio kapal Pengawal Pantai AS, Itasca. Kapal tersebut sedang menunggu ketibaan juruterbang dan penunjuk arahnya di Pulau Howland bagi memberikan sokongan kepada mereka untuk menghabiskan misinya.
Kami mesti ada atas anda, tapi kami tak dapat melihat anda, tapi minyak makin berkurang. Kami tak dapat menghubungi anda melalui radio, kami sedang terbang pada 1,000 kaki,”
Kapal yang tidak dapat menghantar mesej kepada kapal terbang tersebut kemudiannya telah menerima satu lagi mesej dari Amelia kira-kira satu jam kemudian.
Kami berada pada garisan 157 337 (lokasi mereka berdasarkan kompas). Kami akan ulang mesej ini, kami akan ulang mesej ini pada 6210 kilocycles. Tunggu.”
Kemudian, Itasca terputus komunikasi dengan Amelia Earhart selama-lamanya.
Apa yang berlaku pada Amelia Earhart?
Ekoran kehilangan Amelia Earhart pada Julai 1937, Presiden Franklin Roosevelt telah mengarahkan pencarian besar-besaran yang merangkumi 250,000 kaki persegi Lautan Pasifik. Suami Amelia, George Putnam turut membayar untuk membuat cariannya sendiri namun gagal menemui apa-apa tanda dari Amelia atau Fred.
Pihak Tentera Laut AS membuat keputusan rasmi mengatakan bahawa Amelia yang berusia 39 tahun pada ketika itu telah kehabisan minyak ketika mencari Pulau Howland dan terhempas di dalam Pasifik dan lemas. Selepas 18 bulan pencarian dibuat, Amelia Earhart disahkan meninggal dunia secara rasmi.
Namun begitu, tak semua orang percaya yang Amelia telah terhempas dan mati serta mereta. Beberapa tahun seleas itu, banyak teori telah timbul berkaitan kematian Amelia.
Teori pertama mengatakan bahawa Amelia dan Fred telah berjaya untuk mendarat di Nikumaroro sebuah pulau terpencil kira-kira 350 nautika dari Pulau Howland. Menurut Kumpulan Antarabangsa Pemulihan Pesawat Bersejarah, Amelia telah meninggalkan bukti ini di dalam transmisi terakhirnya di mana dia telah memberitahu bahawa “Kami berada pada garisan 157 337.”
Menurut National Geographic, apa yang dimaksudkan oleh Amelia adalah mereka kini sedang terbang di atas garisan navigasi yang bersilang dengan Pulau Howland. Tapi jika dia dan Fred telah terlepas mereka mungkin berakhir di Nikumaroro.
Orang yang percaya dengan teori Nikumaroro ini percaya bahawa Amelia Earhart telah mati ekoran kebuluran dan dehidrasi. Namun ada juga yang berkata Amelia mungkin telah dimakan oleh ketam kelapa jika dia di sana dalam keadaan cedera. Darahnya mungkin telah menarik perhatian haiwan di sana.
Satu lagi teori mengenai apa yang berlaku kepada Amelia melibatkan satu lagi tempat terpencil iaitu pulau yang dikawal oleh Jepun. Menurut teori ini, Amelia dan Fred telah mendarat di sana dan ditangkap oleh askar Jepun. Ada yang mendakwa mereka telah diseksa dan dibunuh namun ada juga mengatakan penangkapan tersebut adalah rancangan kerajaan Amerika bagi mengintip Jepun.
Sehingga hari ini, tak ada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Amelia. Namun begitu nama Amelia Earhart terus menjadi legasi kepada dunia penerbangan sebagai seorang juruterbang yang fenomenal dan berjaya memecah pelbagai rekod dunia.
Sumber: ati
Baca: Kapal Selam ‘Titan’ MELETUP & Kesemua Lima Penumpang Maut, Ini Mungkin Puncanya…