Bukan sesuatu yang pelik jika sesetengah masyarakat memandang sebelah mata kerja seorang cleaner. Malah, ada yang berfikiran tugas tukang cuci yang membersihkan kekotoran dianggap jijik.
Itulah situasi yang dialami oleh seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci yang merasakan dirinya diperlecehkan hanya kerana menyiapkan tugasnya dalam masa yang singkat.
Menerusi hantaran yang dikongsi dalam Group Meru Klang Residents Official, wanita itu meluahkan bahawa dia terpaksa menunggu lebih tiga jam untuk mendapatkan upah.
Artikel berkaitan: “Memang layak sangat!” – Netizen Terharu Tengok Sekolah Bagi Anugerah Dekat ‘Uncle Cleaner’
Artikel berkaitan: Jijik! Tinggal Sisa Makanan Atas Meja, Tukang Cuci Kongsi Pengalaman ‘Customer Dari Neraka’
Menurutnya, rumah yang dibersihkan bersama suaminya adalah jenis teres dua tingkat yang penuh dengan sampah sarap dan terpaksa mengangkat dapur gas yang berat untuk dibuang ke dalam tong Roro.
“Dah 3 jam saya tunggu bayaran dari tuan rumah ini. Saya cleaner. Tolong jangan pandang rendah terhadap cleaner.
“Saya orang Malaysia, jadi cleaner demi rezeki halal… mencari rezeki halal. Bukan meminta-minta duit percuma,” katanya.
Namun, mengecewakan apabila upah yang diterima hanya separuh bayaran, tidak seperti yang dijanjikan sebelum memulakan kerja.
Katanya, upah yang diberikan hanya sekadar cukup untuk mengisi minyak kereta, makan dan minum mereka sekeluarga pada hari tersebut.
Tuan rumah memberikan alasan hanya memberi bayaran separuh upah disebabkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan begitu cepat.
Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan tugasan dapat disiapkan lebih awal kerana sudah biasa melakukannya dan mengikut langkah-langkah pembersihan yang betul.
Hantaran itu telah mendapat perhatian netizen, rata-ratanya bersimpati dan mengecam tindakan tuan rumah terbabit.
Pada masa yang sama, netizen menasihatkan sebaiknya buat bayaran pendahuluan supaya kurang risiko jika berlaku situasi sedemikian.