Beberapa hari lepas, satu kejadian mengejutkan berlaku di Jambatan Pulau Pinang selepas dua individu, lelaki dan perempuan dipercayai terjatuh daripada jambatan tersebut.
Kedua-duanya dikatakan sedang bertelingkah di atas jambatan sebelum kedua-duanya terjatuh ke dalam laut.
Menerusi laporan terkini daripada pihak polis, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh kerana mangsa wanita berusia 42 tahun mendakwa dia telah ditolak lelaki berkenaan ke dalam laut.
Artikel berkaitan: “Saya tak fikir panjang” – Uncle Terjun Selamatkan Wanita Hanyut Bersama Kereta Raih Pujian Netizen
Artikel berkaitan: Gagal Selamatkan Haiwan Kesayangan Penumpang, Japan Airlines Mohon Maaf Pada Keluarga
Anggota tentera dipuji sanggup gadai nyawa demi selamatkan mangsa
Dalam video tular berkenaan kejadian itu, tindakan seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sanggup menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan dua individu yang terjatuh telah menerima pujian netizen.
Anggota yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Koperal Mazlan Abdul Rahman berkata, ia merupakan tindakan spontan selepas melihat dua mangsa itu terapung di permukaan air.
View this post on Instagram
Menurut Mazlan, dia baru sahaja selesai bertugas di Kem Sungai Ara dan mahu pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah dengan menaiki motosikal ketika kejadian itu berlaku.
Semasa di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, dia melihat ramai orang berkumpul di bahu jalan dan Mazlan menyangka kemungkinan besar ada kemalangan berlaku sebelum menyedari ada sepasang individu yang terjatuh dari jambatan.
Mungkin Allah SWT gerakkan hati saya untuk terjun bagi menyelamatkan mangsa lelaki yang terapung serta dalam keadaan stabil, walaupun cedera di kepala. Keadaan memang gelap selain arus laut kuat dan banyak obor-obor.
“Kemudian, saya selamatkan mangsa wanita yang terkapai-kapai minta pertolongan sebelum menarik mereka bagi berpaut pada tembok berhampiran tiang jambatan.
“Saya tidak dapat mengangkat mangsa ke atas tembok kerana ia terlalu tinggi dan kami bertiga hanya berpaut di tembok berkenaan selama hampir 20 minit, sementara menanti bantuan bot nelayan terdekat,” katanya.
Alami kecederaan di kaki, disengat obor-obor
Mazlan juga memaklumkan yang dia mengalami kecederaan di kaki dan sakit di belakang badan akibat disengat obor-obor.
Sejurus diselamatkan bot nelayan, anggota tentera ini kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan dibenarkan pulang pada jam 5 pagi semalam.
Tambahnya lagi, sewaktu kecil dia juga pernah menyelamatkan abangnya daripada lemas dan kini dia juga seorang jurulatih jasmani dan sukan yang berkhidmat di TDM.
Saya pernah mengikuti kursus menyelamat serta menangani situasi seumpamanya dengan latihan di tempat setinggi 10 meter dan mungkin kerana itu saya ada keberanian bagi mempraktikkan kaedah berkenaan ketika kejadian,” tambah Mazlan.
Bapa kepada dua orang anak ini juga telah menerima ucapan penghargaan daripada Angkatan Tentera Malaysia dan juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas keberanian dalam menyelamatkan mangsa.
Tahniah diucapkan kepada Koperal Mazlan di atas keberaniannya!