Dapat dilihat, semakin ramai usahawan dan pempengaruh tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang dilanda musibah itu.
Ini termasuklah usahawan sensasi, Dato’ Sri Aliff Syukri bersama-sama dengan sukarelawan yang terkenal dengan gelaran Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar memulakan misi bantuan banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, Aliff Syukri menyatakan yang dirinya akan berada di Kelantan dan Terengganu untuk misi banjir sekitar tiga hari dua malam bagi mengedarkan barangan keperluan buat mereka yang memerlukan.
Artikel berkaitan: Abang Viva Tengah Kumpul Orang & Modal, Risau Banjir Pantai Timur Semakin Memburuk
Harap usahawan dan ahli politik lain turun bantu
Aliff Syukri dan Abang Viva dilihat turut bersama isteri mereka menjalani misi berkenaan dengan menaiki bot meredah banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang ada di daerah berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, dia berdoa supaya urusannya dipermudahkan sepanjang berada di sana dan turut meluahkan rasa pilu dengan luahan mangsa yang terkesan dengan musibah banjir.
Dalam pada itu, Aliff Syukri berharap lebih ramai usahawan dan juga ahli politik datang memberikan bantuan segera buat mangsa-mangsa banjir.
“Saya harapkan lebih ramai usahawan atau ahli politik yang lain untuk turun bantu meringankan beban mereka yang terkesan dalam pada masa sama memberikan keceriaan kepada mereka yang sedang berduka,” tulisnya.
Difahamkan, kedua-duanya sedang berada di Kuala Nerus membantu mangsa banjir yang berada di PPS di daerah sana.
Sumber: Instagram