Banjir yang melanda Kelantan pada tahun ini dikatakan lebih dahsyat berbanding bah yang berlaku pada tahun 2014 lalu.
Setakat hari ini, kebanyakan kawasan yang terkena banjir masih lagi ditenggelami air dengan kebanyakannya air hanya surut sedikit sahaja.
Terkini, sebuah rumah di Tumpat, Kelantan menjadi perhatian warganet apabila rumah tersebut rosak teruk akibat terkena badai arus banjir yang melanda daerah tersebut.
Pemilik rumah tersebut iaitu Mohd Safian Abd Kadir mengatakan kerugian yang ditanggung olehnya selepas rumahnya rosak akibat arus banjir itu dianggarkan bernilai RM200,000.
Lebih sebak lagi apabila rumah itu baru saja dibina tiga tahun lalu dengan menggunakan duit simpanannya selama 20 tahun berniaga, lapor Berita Harian.
Artikel Berkaitan: Khairul Aming Turun Padang, Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan
Artikel Berkaitan: ‘Rumah Rakit’ Di Kemaman Kembali Viral Sebab Masih Terapung Dalam Banjir
Mohd Safian dan isteri mengatakan mereka menangis kerana melihat kediaman mereka itu hampir roboh akibat banjir.
Difahamkan, lokasi kediaman mereka itu tidak pernah berlaku banjir sebelum ini namun struktur rumah tersebut retak dan rosak akibat arus air yang deras ketika banjir pada kali ini.
Walau bagaimanapun, pasangan itu bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat kerana ketika kejadian, mereka berlindung dari banjir di rumah ibu mentua.
Difahamkan juga, rumah tersebut dijadikan homestay oleh pasangan suami isteri ini dan sebelum ini, jika tiada tetamu, mereka akan tinggal di situ dan jika ada tetamu pula, mereka akan tinggal di rumah ibu mentua.
Sama-sama kita doakan agar banjir yang melanda negeri-negeri di Malaysia akan segera surut. Semoga dipermudahkan juga urusan mangsa-mangsa banjir.
Sumber: Berita Harian