Umum mengetahui, kumpulan hip hop tempatan era 90-an iaitu 4U2C bakal mengadakan konsert pada 15 September ini.
Pun begitu, konsert itu dipertikai oleh Man Senoi yang merupakan pemilik lagu yang dinyanyikan oleh 4U2C, dia juga mendakwa dia tidak tahu-menahu mengenai konsert tersebut.
Penyanyi dan komposer, Ajai sebelum ini memberi pandangan bahawa 4U2C tidak boleh mengadakan konsert sekiranya isu hak cipta tidak diselesaikan dengan pencipta lagu mereka.
Kenyataan Ajai itu kemudiannya sampai ke pihak 4U2C dan Dato’ AC Mizal selaku ahli kumpulan itu mengatakan kenyataan komposer terkenal itu seakan menggambarkan dirinya tidak faham perundangan muzik seperti yang terkandung dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
“Saya kecewa bila dia kata 4U2C tak boleh buat konsert. Kenapa dia nak tutup periuk nasi kami? Apa masalah dia? Saya tak pernah kacau Exists nak buat konsert.
Kami ada permit kelulusan daripada MACP, jadi maksudnya sekarang ini Ajai yang dah lama dalam industri pun tak tahu perundangan muzik di Malaysia,” katanya.
Terbaru, Ajai menerusi laman Instagram miliknya mengeluarkan permohonan maaf dan mengakui tidak mempunyai niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak yang terlibat.
View this post on Instagram
Dalam hataran itu Ajai berkata bahawa dia akan terus memberi sokongan kepada semua pihak dalam menghasilkan karya-karya selain berharap segala kemelut berakhir dengan baik.
“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah. Terima kasih,” ujarnya.
Permohonan maaf tersebut dibuat selepas 4U2C dalam sidang media semalam menuntut Ajai membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam apabila didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas mengenai isu berkenaan.