Susulan isu kontroversi yang melibatkan pengacara, Ain Edruce ketika majlis resepsi rakan artisnya, Janna Nick dan Dini Schatzmann yang baru bergelar suami isteri, Ain telah tampil untuk menjelaskan perkara sebenar.
Netizen menyifatkan Ain sebagai tidak menghormati majlis sekali gus dipanggil dengan panggilan ‘perosak majlis’.
Menurut Ain, sewaktu dia menjerit perkataan ‘kiss’ itu, ciuman yang dimaksudkan adalah ciuman di dahi yang dimintanya kerana tidak hadir ke majlis akad nikah Janna di masjid pada hari yang sama.
“Selepas akad nikah ada acara batal air sembahyang dan ramai yang tidak menyaksikan momen tersebut.”
“Jadi, bila saya jerit kiss, sebenarnya minta Dini cium bahagian dahi Janna. Bila dengar perkataan kiss, orang sudah fikir benda lain,” jelas Ain.
Pada masa yang sama, dia akui perasaannya juga terguris apabila membaca komen netizen yang hakikatnya tidak berada di tempat kejadian semasa ia berlaku.
“Geram juga bila orang bercakap mengenai hal ini. Mungkin suara saya kedengaran kuat tetapi tetamu lain juga minta begitu. Tutup mata sahajalah apa yang netizen cakap.”
“Tidak akanlah pengantin pula nak jerit cium dahi. Janna ada kawan saya, dan sebab itu saya okay untuk jerit sebegitu.”
Tambah Ain, dia juga kasihan dengan suaminya, Amirul yang turut terkena tempias daripada kejadian tersebut. Bagaimanapun, dia memohon maaf sekiranya ramai yang kurang senang dengan perangainya pada hari itu.
Terdahulu, Ain menjadi bualan ramai selepas bertindak menjerit perkataan ‘kiss’ pada majlis perkahwinan Janna dan Dini yang berlangsung di Pulau Langkawi pada 10 Jun lalu yang membuatkan orang ramai berasa kurang senang.
Sumber : Kosmo!