Setiap kali musim Tahun Baru Cina tiba, antara tradisi tak rasmi bagi ramai rakyat Malaysia ialah pergi ke pawagam untuk menonton filem Tahun Baru Cina. Mana tidaknya, sejak dulu lagi musim perayaan inilah yang sering menyaksikan pelbagai filem Cina menarik ditayangkan serentak.
Walaupun Tahun Baru Cina 2026 masih belum tiba, perbualan tentang musim filem perayaan sudah mula hangat. Kali ini, tumpuan ramai terarah kepada dua watak ikonik lama yang dijangka membangkitkan nostalgia, terutamanya dalam kalangan generasi millennial. Agak-agak, korang boleh teka watak apa?
Ya, dua IP ikonik dari Malaysia dan Singapura, Ah Beng dan Liang Po Po, bakal kembali ke pawagam selepas bertahun-tahun ‘menyepi’. Kemunculan semula dua watak ini bukan sahaja mengembalikan memori lama bagi penonton setia mereka, malah bakal membuktikan bahawa watak-watak legenda ini masih mempunyai tempat dalam kalangan penonton generasi hari ini.
Ah Beng: Cerminan kehidupan orang biasa

Ah Beng ni bukanlah seorang superhero, malah dari awal kemunculannya, dia digambarkan sebagai lelaki biasa yang hidupnya penuh dengan kekangan. Masalah kewangan, tekanan keluarga, impian untuk hidup lebih baik adalah antara tulang belakang kepada watak ini. Kerana itulah ramai penonton mudah rasa relatable.
Filem-filem awal seperti Tiger Woohoo! dan Great Day telah menampilkan Ah Beng dalam situasi yang sangat dekat dengan masyarakat tempatan. Tekanan menjelang musim perayaan seperti isu duit, konflik kecil dalam keluarga telah diceritakan dalam bentuk komedi bersahaja. Lawak Ah Beng juga bukan slapstik semata-mata tapi diinspirasi daripada realiti harian yang pernah dilalui oleh ramai orang.

Apabila siri Ah Beng: Mission Possible diperkenalkan, watak ini mula melalui evolusi. Skala cerita jadi lebih besar, konflik lebih luas dan produksi lebih kemas. Ah Beng bukan lagi sekadar watak dalam satu filem, tapi dah jadi IP sinonim dengan filem Tahun Baru Cina Malaysia. Malah nama, Jack Lim juga turut dikaitkan dengan musim perayaan, sehingga kemunculan beliau hampir dianggap sebagai satu ‘tradisi’ tahunan.
Selepas lebih 12 tahun tak muncul di layar perak sempena Tahun Baru Cina, kepulangan Ah Beng pada 2026 dijangka membawa versi yang lebih matang. Penonton yang membesar bersama watak ini juga kini berada di fasa hidup yang berbeza, menjadikan persoalan besar iaitu adakah Ah Beng masih boleh mencerminkan realiti mereka hari ini?
Liang Po Po: Era filem perayaan yang penuh sindiran

Sebelum Ah Beng menjadi fenomena, Liang Po Po dah lebih awal meninggalkan kesan mendalam untuk penonton era 90-an. Watak nenek ini bukan sekadar mempamerkan elemen komedi, tapi berfungsi sebagai suara generasi lama yang berhadapan dengan perubahan sosial dan budaya.
Dalam Liang Po Po: The Movie, humor digunakan sebagai alat untuk menyampaikan mesej yang lebih besar. Konflik keluarga, jurang antara generasi dan perubahan nilai hidup bandar jadi tema utama. Penonton mungkin ketawa melihat telatah Liang Po Po tapi mereka turut tersentuh dengan realiti yang dipaparkan.
Pendekatan ini juga memang sinonim dengan gaya pengarahan Jack Neo. Filem-filem beliau sering menggabungkan komedi dengan sindiran sosial yang halus, menjadikan Tahun Baru Cina bukan sekadar lawak ringan, tetapi sesuatu yang ada ‘isi’.
Walaupun kemunculan terakhir Liang Po Po di pawagam sudah hampir tiga dekad lalu, watak ini kekal relevan kerana mesejnya yang bersifat universal. Isu keluarga dan pertembungan generasi masih berlaku walaupun zaman dan berubah.
Dua era, dua pendekatan, satu tradisi

Apa yang menarik, Ah Beng dan Liang Po Po sebenarnya mewakili dua fasa berbeza dalam evolusi filem Tahun Baru Cina. Liang Po Po muncul ketika filem perayaan banyak menumpukan pada keluarga besar, nilai tradisional dan sindiran sosial. Ah Beng pula muncul pada era seterusnya, ketika cerita beralih kepada tekanan ekonomi, kehidupan bandar dan realiti kehidupan orang biasa.
Namun begitu, asas kepada dua watak ini tetap sama, mereka dibina dari pengalaman hidup sebenar. Sebab tu, walaupun dua watak ni dari latar zaman berbeza, ia tetap masih segar dalam ingatan penonton.
Lebih menarik lagi, dua watak ni tak pernah muncul dalam musim perayaan yang sama tau sebelum ni. Jadi kepulangan serentak mereka pada Tahun Baru Cina 2026 memang terasa seperti pertemuan dua generasi penonton.

Ah Beng 2026 dan kemunculan semula Liang Po Po dijangka cuba mencari keseimbangan antara mengekalkan identiti asal dan menyesuaikan diri dengan realiti semasa. Sama ada percubaan ini berjaya atau tidak, ia pasti menjadi perbualan hangat menjelang musim perayaan.
Satu perkara yang jelas, Tahun Baru Cina 2026 bukan sekadar tentang dua filem baru. Ia tentang bagaimana watak lama yang dibina dengan cerita dan emosi masih mempunyai tempat dalam budaya pop hari ini. Dan kadang-kadang, memori itulah yang paling kuat menarik penonton kembali ke pawagam.
Korang dah ready ke?
