Kalau sudah tinggal di rumah sewa, beringat-ingatlah. Jaga kebersihan rumah tersebut dan jangan rosakkan barangan milik tuan rumah sehingga tidak boleh digunakan lagi. Kesian tuan rumah laburkan duit banyak-banyak untuk cantikkan rumah tu!
Jangan jadi seperti penyewa yang satu ini. Habis rumah yang disewanya jadi tongkang pecah! Menerusi perkongsian Ziera Rahman di Facebook, dia sedang berhadapan dengan penyewa yang tersangat pengotor dan meninggalkan rumahnya dalam keadaan meloyakan dengan begitu sahaja.
“Bila penyewa mesej keluar dari rumah macam itu saja… Hanya mesej mengatakan kunci letak dalam rumah lepas itu terus block telefon kita. Hati rasa tak sedap. Bila tengok rumah, aduhai orang jenis apa duduk rumah ini.”
Menurut Ziera, perkara seperti ini belum pernah berlaku kerana apabila ada penyewa yang keluar dari rumah tersebut, dia bersama suaminya masih mampu membersihkan rumah itu sendiri. Namun kali ini, dia terpaksa surrender!
“Kali ini Iera (Ziera) surrender. Tak selera aku tengok tandas macam ini. Penyewa jenis tak basuh tandas ke. Sudah berkahwin, sudah ada anak takkan kotor macam ini,” rungutnya.
Malah apa yang lebih menyakitkan hatinya ialah bukan saja tandas rumah tersebut yang bermasalah, sinki di dapur juga bengkok, mozek pada dinding pula tercabut. Ini orang ke hantu duduk rumah macam ni??
“Kita orang memang tak pernah periksa rumah sebab nak jaga privasi penyewa. Tup-tup rumah jadi macam ini. Sudahlah rumah sebelum diberi sewa kita cat lawa-lawa. Tak kisah tinggal rumah kotor sebab kita faham takkan lepas angkut barang awak nak kemas.
“Tapi bila barang-barang rumah banyak rosak, itu yang sakit hati. Satu lagi bang oi, kepala paip pun bawa lari ke?”
Ish, ish, ish… teruk ni!
Ziera juga menjelaskan bahawa dia dan suaminya, Sabri Amran tidak pernah menaikkan sewa. Deposit rumah pula hanya perlu dibayar untuk satu bulan saja kerana tidak mahu menyusahkan penyewa. Namun, dia tidak sangka pula kebaikannya dibalas dengan perkara buruk seperti ini. Deposit rumah pun tak boleh cover kerosakan ni!
“Sekarang masalahnya penyewa ini dah lari. Tak dapat dicari. Kalau esok dia masih berdiam walaupun kita sudah mesej dia, tindakan susulan akan diambil. Sebab agreement semua ada. Facebook penyewa pun kita telah jumpa. Harap penyewa ini keluar dari lubang tikus dan munculkan diri,” tambahnya lagi.
Perkongsian ini rata-rata telah mendapat sokongan daripada netizen yang kebanyakannya marah dengan tindakan penyewa yang pentingkan diri dan sikap pengotor yang teramatlah buruk.
Buang-buanglah sikap pemalas dan pengotor tu. Takkan tak geli atau sakit duduk rumah macam tu? Eloklah tampilkan diri untuk selesaikan hal dengan tuan rumah ini secepat yang mungkin.
Baca: “Paling malas sekali aku nak cuci…” – Cleaner Kongsi Pengalaman Bersihkan Rumah Anak Dara Pengotor