Sejak kita kecil lagi, ibu bapa selalu menasihatkan kita untuk tidak sewenang-wenangnya percaya dan mengikut orang yang tidak dikenali.
Sehingga hari ini, taktik yang sama masih digunakan oleh penculik kanak-kanak di luar sana iaitu dengan ‘mengumpan’ mereka dengan sesuatu yang disukai kanak-kanak seperti gula-gula atau alat permainan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Mohd Azreen Irman Ali berkongsi anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik di hadapan sekolahnya pada siang hari.
Menurut sebuah posting di Facebook Jabatan Netizen Negara menyatakan cubaan penculikan itu berlaku pada Jumaat (23 September) lalu berdekatan SK Pengkalan, Taman Pinji Mewah di Ipoh, Perak.
https://www.facebook.com/JABATANNETIZENNEGARA/posts/196536256080967
Insiden itu berlaku apabila pelajar sekolah berusia 9 tahun (darjah 4) itu menunggu bersama rakannya untuk memasuki sekolahnya kira-kira pukul 1.05 tengah hari Jumaat lalu.
Disebabkan sesi persekolahannya bermula pada pukul 2 petang, dia dan rakannya terpaksa menunggu di luar pintu pagar sekolah sehingga sesi persekolahan pagi tamat.
Cuba umpan dengan gula-gula
Semasa menunggu di luar pintu pagar sekolah, tiba-tiba sebuah van putih bercermin gelap datang dan keluar seorang lelaki menghampiri gadis itu dan rakannya sambil berkata “adik mari ikut abang jalan-jalan nanti abang beli gula-gula”.
Ketika kanak-kanak itu menolak ajakannya, suspek kemudian tiba-tiba memegang lengan kanan kanak-kanak tersebut, dia mula menjerit dan terus menggigit tangan suspek yang menyebabkan dia melarikan diri dari tempat kejadian.
Jeritan itu menyedarkan pengawal keselamatan sekolah, lalu dia bergegas keluar ke perkarangan sekolah, tetapi suspek dan van itu sudah pergi.
Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis dan kini pihak PDRM sedang menjalankan siasatan termasuk memanggil kedua-dua pelajar itu untuk fotofit.
Semoga anak-anak kita terhindar daripada pelaku seperti ini!