Bekas madu kepada pelakon Miera Liyana iaitu Adibah Abdul Mutalib akhirnya dapat menarik nafas lega apabila kes nusyuz yang difailkan bekas suami, Rosland Othman pada Disember 2021 lalu, berpihak kepadanya.
Memetik sumber mStar, keputusan itu dibuat oleh hakim syarie selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini.
“Alhamdulillah memihak kepada Adibah, maknanya sabitan nusyuz oleh pihak plaintif ditolak.
“Bila sudah ditolak ini membuktikan Aidibah bukan isteri derhaka seperti didakwa plaintif,” kata peguam mewakili Adibah, Mohd Junid Ramli.
Artikel berkaitan: “Tak tahu apa dia nak” – Suami Miera Leyana Teruskan Tuntutan Nusyuz Terhadap Bekas Isteri
Artikel berkaitan: “Tergamak betul hati..” – IG Miera Leyana ‘Diserang’ Netizen Lepas Suami Cerai Isteri Pertama?
Sementara itu, Adibah meluahkan rasa syukur dengan keputusan itu kerana secara tidak langsung membuktikan dia tidak pernah derhaka terhadap bekas suami.
“Alhamdulillah terbukti saya tidak nusyuz, hakim kata sebab tiada usaha daripada pihak plaintif untuk isu kembali taat, itu yang saya ingat.
“Semoga Allah permudahkan semua tuntutan saya selepas ini sebab saya yakin berada di pihak yang benar.
“Saya cuma mahu tuntut hak saya, tiada niat nak malukan sesiapa,” katanya.
Tambah Adibah, selepas ini dia boleh memfokuskan dua lagi kes iaitu perbicaraan hadanah dan tuntutan nafkah.
Katanya lagi, dia berharap tanggapan masyarakat terhadapnya berbeza dan namanya juga bersih daripada dakwaan tersebut.
Untuk rekod, Rosland memfailkan kes nusyuz terhadap Adibah ketika mereka masih suami isteri atas alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin ketika keluar dari rumah pada 24 September 2021.
Adibah sah diceraikan talak satu oleh Rosland pda 3 Ogos tahun lalu. Mereka sudah hidup bersama selama 28 tahun dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan.
Rosland yang merupakan ahli perniagaan berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu.
Sumber: mStar