Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan bahawa peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel dinafikan hak mendapatkan khidmat guaman.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, GSF berkata perkara itu dimaklumkan oleh ADALAH selepas menerima panggilan telefon daripada peserta yang memberitahu pihak imigresen telah memulakan prosiding pendengaran berkaitan perintah pengusiran dan penahanan mereka di Pelabuhan Ashdod.
Artikel berkaitan: “Maafkan salah silap adik” – Mesej Terakhir Peserta Termuda GSF Dari Malaysia Kepada Ibu Ayah Buat Ramai Sebak
Artikel berkaitan: Israel Siap Sedia Halang Kapal GSF, Ini Mungkin Apa Yang Akan Berlaku Terhadap Semua Aktivis
“Proses ini dijalankan tanpa kehadiran peguam, sekali gus melanggar hak asasi peserta flotila serta menafikan keadilan,” tegasnya dalam kenyataan.
ADALAH turut menjelaskan bahawa prosiding tersebut dijalankan tanpa notis awal kepada peguam dan akses peserta kepada khidmat guaman juga disekat.
GSF menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pelanggaran serius terhadap proses sewajarnya dan penafian terhadap hak asasi peserta.
Sementara itu, ADALAH menegaskan komitmen mereka untuk terus berusaha mendapatkan akses guaman serta mengambil langkah undang-undang yang diperlukan.
Difahamkan, pasukan guaman pada awalnya tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan, namun kemudian berjaya menemui aktivis yang ditahan selepas mendesak pihak berkuasa Israel.
Sumber: Astro AWANI