Baru-baru ini, bekas pelakon dan model terkenal Malaysia, Zahnita Dorothy Hussein Wilson atau lebih dikenali sebagai Zahnita mendedahkan dia merupakan mangsa keganasan rumah tangga.
Selepas pendedahan itu, suaminya, Abd Zackery Ghouse ditahan reman dan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dan menggunakan dadah.
Artikel berkaitan: Mahu Fokus Pada Bisnes Pai, Zahnita Wilson Tolak Tawaran RM150K Untuk Jadi Model
Artikel berkaitan: Suami Zahnita Wilson Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Isteri
Hari ini, pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu mendapat perintah perlindungan interim (IPO) daripada Mahkamah Majistret Kuantan.
Keputusan itu diputuskan Majistret Wahida Zainal Abidin dalam prosiding hari ini, difahamkan IPO merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya.
Menurut laporan Kosmo!, perintah mahkamah itu dikeluarkan bagi menghentikan suami Zahnita daripada meneruskan kelakuan ganas terhadap mangsa.
Zahnita ketika ditemui sebak di atas keputusan yang diputuskan Mahkamah Majistret tersebut.
“Ia merupakan kebebasan buat saya dan anak-anak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 12, lapan, tujuh, dan empat tahun.
Peguam Zahnita, Datuk Zaharman Zainal Abidin berkata, pihaknya memohon IPO daripada mahkamah di bawah Seksyen 5, 6, dan 7 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Menerusi IPO ini, suami Zahnita yang sudah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 tidak boleh menghampiri mangsa dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, pelakon itu berkongsi foto di Instagram miliknya yang memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam dipercayai akibat dipukul oleh suaminya.
Sumber: Kosmo!