Sukarelawan terkenal, Azwan Omar atau Abang Viva kembali menjadi perhatian ramai susulan beberapa negeri dilanda bencana banjir ketika ini.
Dalam perkembangan terkini, Azwan menyuarakan kebimbangannya melihat situasi banjir di Pantai Timur yang dikatakan lebih buruk berbanding tahun 2014.
Azwan menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan akan melakukan misi menyelamat di sana sekiranya kos perjalanannya mencukupi.
Artikel berkaitan: Abang Viva Kembali! Siap Sedia Turun Padang Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu
Artikel berkaitan: “Post la benda berfaedah” – [VIDEO] Didakwa Sudah Berpisah, Isteri Abang Viva Tampil Bersuara
Jelasnya, dia mengakui sedang mengumpul modal dan mencari sukarelawan yang lain untuk sama-sama ke sana bagi misi bantuan banjir kali ini.
“Pantai Timur semakin memburuk… adakah jadi macam 2014? Insya-Allah saya akan turun ke sana jika kos untuk saya mencukupi.”
Dalam kesempatan itu, Azwan mengalu-alukan kepada mana-mana pihak yang ingin turut serta membantunya mencukupkan keperluan bantuan.
“Tiada paksaan untuk mana-mana pihak, jujurnya saya sedang mengumpulkan orang dan modal untuk ke sana,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan agar urusan Azwan dipermudahkan untuk misi kali ini.
Banjir dijangka lebih buruk dari tahun 2014
Media melaporkan banjir yang sedang melanda di Kelantan dan Terengganu dijangka lebih buruk berbanding bencana tahun 2014.
Menerusi kenyatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia berdasarkan unjuran daripada sistem amaran awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menurutnya, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan situasi banjir menyebabkan air sungai tidak dapat keluar ke laut.
Sumber: Facebook, Sinar Harian