in

Abang Bas Menangis Ketika Didakwa Lakukan Amang Seksual Kanak-kanak

Syaz Ft 2024 09 10T120042.451

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sebelum ini, seorang pemandu bas sekolah tular selepas memuat naik beberapa video yang menimbulkan kegusaran ramai khususnya ibu bapa.

Ia memaparkan pemandu bas atau lebih dikenali sebaga Abang Bas itu mencium serta menggunakan kapsyen seperti ‘kesayangan’ serta ‘crush’ kepada kanak-kanak perempuan yang menaiki basnya itu.


Tindakannya itu dilihat tidak sepatutnya dilakukan terhadap kanak-kanak dan dia telah pun ditahan reman selama 5 hari sebelum ini.

Artikel berkaitan: Muat Naik ‘Content’ Pelajar Sekolah Dengan Kapsyen Kontroversi, ‘Abang Bas’ Ditahan Polis

Artikel berkaitan: “Saya pun ada akal” – Tular ‘Live’ Abang Bas Dakwa Dah Minta Kebenaran ‘Parents’ Untuk Buat ‘Content’

Terbaru, pemuda berusia 24 tahun itu dikatakan telah menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor sambil dilihat hanya menunduk serta mengesat air matanya ketika rayuan jaminan dibuat.

Menurut laporan Kosmo!, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah serta jumlah jaminan adalah bertujuan bagi memastikan kehadiran dan tidak boleh keterlaluan sehingga membebankan tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.