Seperti yang kita sedia maklum, semalam merupakan detik bersejarah pengumuman keputusan peperiksaan bagi calon SPM 2021 setelah bertungkus-lumus berjuang pada Mac lalu. Walaupun ramai pulang dengan wajah yang penuh gembira, terdapat juga segelintir yang tidak dapat keputusan seperti yang diharapkan. Walau apa pun keputusan, korang dah buat yang terbaik!
Menerusi platform TikTok @arengahismail, viral sebuah klip video yang memaparkan tentang seorang calon SPM dilihat menangis selepas menerima slip keputusannya.
@arengahismail tahniah ..anak ibu kuat perjalanan Masih panjang… #tahniahspm2021 #fypシ #bersyukur_kepada_allah
Walaupun tidak berjaya dapatkan sebarang A dalam peperiksaan tersebut, tapi Noor Ismail, yang merupakan ibu kepada calon tersebut tetap berbangga dengan ‘result’ diperolehi anak perempuannya.
Apa yang lebih sebak lagi apabila si ibu perasan yang anaknya mengalirkan air mata semasa melihat rakan-rakan lain dapat gred A dalam keputusan mereka. Noor Ismail turut memaklumkan yang dia menjadi saksi kepada anak perempuannya yang sudah berusaha sehabis baik sehingga pernah tertidur atas meja belajar.
Ibunya turut memujuk anaknya dengan menyatakan ‘A’ bukan segalanya dan apa yang paling penting adalah usaha berpanjangan, tawakal dan reda.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi semangat kepada calon terbabit supaya tak putus asa dan terus berjuang masa akan datang. Netizen turut kagum dengan ibu kepada gadis terbabit yang memberi sokongan sepenuhnya dalam memberi kata-kata positif kepada anaknya.
Apa sahaja keputusan peperiksaan SPM korang, korang patut berbangga sebab dah buat yang terbaik! Teruskan usaha ya!
Baca: “Congratulations Ain!” – Diuji Pelbagai Tekanan, Ain Husniza Dipuji Terima Keputusan Cemerlang SPM”