Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di festival muzik Astroworld yang bertempat di Houston, Texas. Festival tersebut diadakan setiap tahun sejak 2018 dengan barisan rapper yang berlainan.
Namun, Astroworld 2021 meninggalkan memori hitam bagi mereka yang hadir akibat insiden stampede atau berasak-asak secara melampau hingga mengakibatkan 8 orang terkorban dan ratusan lagi penonton cedera.
Kejadian tersebut berlaku ketika persembahan seorang penyanyi rap terkemuka, Travis Scott. Beliau dikatakan tidak bertindak untuk menghentikan persembahan walaupun keadaan di ruang penonton telah huru-hara.
Sehubungan dengan itu, Scott berasa kesal dan memaklumkan bahawa sebarang kos upacara pengkebumian mangsa akan dibiayainya. Penyanyi tersebut turut menyatakan niatnya untuk bantu ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat festival.
https://twitter.com/XXL/status/1457157189018193924
Walau bagaimanapun, Scott tetap berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila salah seorang mangsa yang tercedera memfailkan saman sebanyak 1 juta USD (RM4.16 juta).
Saman yang sama turut dikenakan terhadap Drake, rakan selebriti yang membuat persembahan secara mengejut pada konsert tersebut.
Menurut sumber, saman tersebut difailkan oleh Kristian Paredes, seorang penonton berusia 23 tahun. Lelaki itu menyatakan Scott dan Drake seolah-olah memberi dorongan kepada kekecohan dan rusuhan yang berlaku ketika itu.
Pemuda tersebut turut mendakwa pihak penganjur iaitu Live Nation gagal menyediakan khidmat kecemasan dan panduan keselamatan yang mencukupi.
Setakat ini masih belum ada maklum balas dikeluarkan dari dua orang penyanyi rap itu berkenaan saman tersebut.
Festival Astroworld 2021 dibatalkan secara terus selepas insiden berdarah itu berlaku.
Sumber: BBC
Baca: Lapan Orang Maut Dihempap Di Konsert Travis Scott, Berpunca Daripada ‘Mosh Pit’?