Semalam, pihak Polis Kelantan mengumumkan bahawa mereka akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mereka yang merentasi sempadan itu secara haram akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tak lebih dari RM10,000, jika sabit kesalahan.
Artikel berkaitan: Penyanyi Wanita Popular Kelantan Ditahan Berkaitan Kes Dadah Di Sungai Golok
Artikel berkaitan: Hanya Berjarak 1KM Dari Sempadan, Anak Muda Kelantan Didakwa Kerap Kunjungi Pekan Golok Untuk Berhibur
500 pelajar Thailand bersekolah di sini
Namun tidak ramai yang tahu, rupanya hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Hasil tinjauan juga mendapati, para pelajar ini sudah mula menunggu bot ke Malaysia seawal jam 6.30 pagi dan dikenakan caj RM1 bagi pelajar sekolah.
Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar termasuklah pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Malah suasana di Sungai Golok antara jam 6.30 pagi hingga 8 pagi dilihat begitu meriah dengan pergerakan bot dan pelajar dari Thailand dan Malaysia.
Difahamkan, ada juga penduduk yang tinggal di negara ini bersekolah di Golok, Thailand namun ia tidak begitu ketara.
Kebanyakan pelajar dari Thailand ini bersekolah di sembilan buah sekolah sekitar Rantau Panjang termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SMK Rantau Panjang, SK Tok Deh, SK Gual Tinggi dan Sekolah Ugama Arab Lubok Gong.
Ibu bapa mohon kelonggaran guna pangkalan haram, hantar anak ke sekolah
Susulan itu, ibu bapa di sini dan Golok, Thailand memohon pelajar diberi kelonggaran dalam menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok bagi memudahkan anak mereka ke sekolah.
Seorang penduduk di Golok, Ishak Ghazali, 63, berkata, dia menyokong penutupan pangkalan haram itu untuk individu lain tetapi berharap dapat memberi kelonggaran buat pelajar dua negara itu untuk ke sekolah.
Jika pangkalan haram di Sungai Golok ditutup, bagaimana anak-anak nak pergi ke sekolah. Jika nak melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), sudah tentu akan sampai lewat ke sekolah.
“Pada masa sama, untuk ke ICQS perlu membabitkan kegunaan kenderaan dan kos juga meningkat kerana lokasi agak jauh. Bukan semua ibu bapa mempunyai kenderaan dan keupayaan setiap hari untuk menghantar anak-anak.
“Justeru, kita memohon kegunaan pangkalan haram di Sungai Golok diberi kelonggaran kepada pelajar sekolah kerana ia membabitkan bilangan yang ramai,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi keluarganya, perkara ini sudah membabitkan empat generasi yang bersekolah di Malaysia kerana menjadi tradisi mereka bersekolah di sini.
Dia yang merupakan warga Malaysia mempunyai isteri warganegara Thailand dan mengakui kesemua anak dan cucu malah bapanya juga mendapatkan pendidikan di Rantau Panjang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung keperluan perjalanan pelajar sekolah.
Kita akan berbincang sama ada operasi ICQS akan dibuka lebih awal untuk kumpulan pelajar,” katanya.
Sumber: Berita Harian (1), (2), (3)