Seperti yang ramai tahu, rakyat Malaysia dan Singapura ibarat ‘adik beradik tiri’ yang selalu ‘bergaduh’ dalam hal-hal tertentu, misalnya siapa yang mempunyai makanan terbaik atau negara mana yang lebih sesuai untuk dihuni.
Tahun lalu, gempar apabila seorang pelawak Singapura yang berpusat di Amerika membuat ‘stand up comedy‘ yang menyentuh hal-hal yang boleh dianggap tidak sensitif oleh para netizen.
Menurut pelawak tersebut, Malaysia merupakan negara mundur yang tidak semaju Singapura. Mungkin ada benarnya kerana ramai rakyat Malaysia yang berhijrah ke Singapura untuk mencari peluang kerjaya yang lebih baik.
Bagaimanapun, ada juga orang Singapura yang memilih untuk berpindah ke Malaysia!
Mari kita lihat apakah pandangan seorang wanita Singapura, juga dikenali sebagai Ariel, 30, yang kini sedang menetap di TTDI, Lembah Klang.
Menurutnya, ada 5 sebab utama mengapa dia sangat suka tinggal di Malaysia berbanding negara asalnya:
Alasan #1 Kos makanan, petrol, dan pengangkutan awam di Malaysia lebih murah
Sekarang, ramai orang Singapura mengatakan bahawa makanan dan kos sara hidup di Malaysia yang jauh lebih murah.
“Satu perkara yang saya dapati menarik adalah pengangkutan awam/petrol di Lembah Klang murah, tidak seperti di Singapura.
“Bagaimanapun, disebabkan harga petrol yang lebih murah, ramai orang memilih untuk memandu,” katanya.
Malah, dia juga terkejut setelah mendapati ada rakyat Malaysia yang memilih untuk tinggal di tempat jauh seperti Seremban & bekerja di KL.
“Di Singapura, orang yang memandu dianggap sangat kaya. Malah, kos perubatan di hospital kerajaan Malaysia juga murah kerana ia disubsidi,” katanya.
Tambah Ariel, orang Malaysia juga boleh pergi ke hospital swasta, dapatkan preskripsi, dan beli ubat di farmasi seperti AA, Big Pharmacy, dan Caring sekiranya klinik atau hospital kerajaan terlalu sesak.
“Dari segi makanan, ada banyak makanan yang murah dan bertepatan dengan bajet harian.
“Kurang daripada RM15, anda boleh dapatkan nasi ‘ekonomi’ yang pasti dapat membuatkan anda kenyang.
“Malah, parkir juga murah. Ada tempat letak kenderaan semurah RM10 untuk parkir dari pagi ke malam,” katanya.
Artikel berkaitan: Rakyat Malaysia Di Singapura Pasrah Sewa Bilik Harga RM2,300, Hanya Ada Tilam Atas Lantai
Artikel berkaitan: Ini Mungkin Sebab Kenapa Artis Luar Negara Lebih Suka ‘Perform’ Di Singapura Berbanding Malaysia
Alasan #2. Jiwa rakyat Malaysia lebih dekat dengan budaya dan warisan masing-masing
Menurut Ariel, orang Malaysia lebih dekat dengan budaya dan warisan mereka.
“Di Malaysia, mereka boleh bercerita tentang gerai nasi kandar yang sudah wujud selama beberapa dekad. Malah, mereka ada banyak cerita-cerita lagenda, contohnya Puteri Gunung Ledang atau sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat.
“Setiap orang mempunyai cerita kegemaran mereka tentang legenda tempatan yang masih hidup dalam ingatan dan hati mereka,” katanya.
Malah, Ariel berkata, apabila buka cerita tentang hantu atau perkara-perkara mistik, orang bandar yang hidup serba canggih pun boleh cerita mengenai pengalaman mereka mengenai pontianak, toyol, pocong dan sebagainya.
Alasan #3. Rakyat Malaysia lebih gemar jadi diri sendiri
Menurut Ariel, rakyat Malaysia tidak malu untuk mengakui diri mereka adalah orang Malaysia.
Malah, mereka juga bangga untuk menjadi orang Malaysia.
“Saya suka semua orang yang saya jumpa di sini. Saya bebas minum teh di mamak pada pukul 12 tengah malam dan ambil masa untuk lakukan satu-satu perkara.
“Tetapi di Singapura, saya dapati sukar untuk berjumpa dengan orang yang saya rasa sehaluan. Walaupun pengalaman setiap orang berbeza, saya dapati, kebanyakan rakan sebaya saya terlalu sibuk dengan kerjaya sendiri.
“Orang Singapura macam ada KPI sendiri. Mereka sibuk mengejar perkara-perkara yang konkrit, contohnya kondominium yang cantik atau kereta Audi baharu,” katanya
Alasan #4. Rakyat Malaysia lebih ‘fleksibel’
Ariel berkata, orang Singapura lebih tegas dan tidak fleksibel seperti orang Malaysia.
“Ada bagusnya kalau orang Singapura bersikap tegas. Bagaimanapun, perkara tersebut ada juga kekurangannya,” katanya.
Tambah Ariel, fleksibiliti inilah yang menyebabkan orang Malaysia lebih kreatif dan boleh bereksperimentasi secara bebas.
“Ada pro dan kontranya. Kalau tidak ikut undang-undang, ada orang boleh mengelakkan peraturan untuk kebaikan mereka sendiri. Tetapi ia juga boleh bermaksud bahawa orang yang membuat kesilapan jujur boleh mendapat peluang kedua,” ulasnya.
Alasan #5. Rakyat Malaysia lebih mudah menerima budaya orang lain
“Ada satu hari, saya memakai sari untuk pergi kerja di Singapura. Tetapi, orang ramai memandang seolah-olah saya alien dari planet Marikh!
“Di Malaysia, saya tidak akan soal pakaian kerana (di sini) ada budaya yang berbeza. Pakai sari hanyalah perkara biasa,” katanya.
Ariel berkata, dia sangat suka tinggal di Malaysia dan boleh melihat dirinya menetap di sini sampai bila-bila.
“Saya berharap lebih ramai orang Singapura bersedia untuk mencuba cara hidup yang berbeza.
“Mungkin berpindah ke Malaysia adalah apa yang mereka perlukan untuk memulakan perjalanan itu,” katanya.
Sumber: Inreallife