Bila kita tengok perempuan tua yang boleh dipanggil nenek, kita mesti tengok dorang macam keluarga sendiri yang gemar melayan cucu-cucu dengan memasak atau memberikan hadiah.
Tapi pada artikel kali ini, kita akan tengok yang sebenarnya wanita warga emas juga mampu menjadi pembunuh yang kejam. Pembunuh-pembunuh yang tersenarai dekat bawah ni, telah melakukan pembunuhan atas sebab-sebab berlainan, sama ada kerana duit, dendam atau mendapat petunjuk dari tuhan.
Kalau nak tahu siapa mereka ni dan macam mana mereka boleh melakukan pembunuhan yang kejam, jom baca dekat bawah ni.
Artikel berkaitan: Kisah 5 Pembunuh Bersiri Wanita & Jenayah Yang Dorang Lakukan, Seriau Weh!
1. Tamara Samsonova
Diberi gelaran sebagai ‘Granny Ripper’ dan ‘Baba Yaga’, wanita dari Rusia ini telah ditangkap pada tahun 2015 selepas dia dirakam oleh CCTV membawa bahagian-bahagian mayat mangsanya menggunakan beg plastik.
Tamara merupakan penjaga kepada seorang warga emas berusia 79 tahun, Valentina Ulanova. Mereka dikatakan telah bergaduh ekoran pinggan mangkuk kotor sehingga menyebabkan Valentina enggan tinggal serumah dengan Tamara.
Disebabkan ini, Tamara telah mencampurkan sebanyak 50 pil tidur di dalam makanan Valentina dan selepas wanita tersebut tak sedarkan diri, Tamara telah mengerat leher Valentina menggunakan gergaji ketika wanita itu masih lagi hidup.
Siasatan polis ke atas Tamara telah menemui sebuah diari menunjukkan Tamara telah membunuh beberapa penyewanya yang lain serta suaminya.
Ketika perbicaraannya, Tamara tidak menunjukkan rasa bersalah malah sempat gelak-gelak dan memberikan flying kiss kepada Hakim semasa dibicarakan melalui panggilan video.
Pada tahun 2017, Tamara didapati bersalah membunuh Valentina dan dihantar ke institusi mental selepas didiagnos mempunyai masalah mental paranoid schizophrenia di usia 70 tahun.
2. Helen Golay dan Olga Rutterschmidt
Dikenali sebagai ‘The Killer Grannies of Santa Monica‘, dua wanita ini dikatakan telah mengumpan lelaki-lelaki gelandangan untuk pergi ke rumah mereka dan menyuruh mereka untuk mengambil insuran nyawa sebelum membunuh mangsanya dengan kemalangan langgar lari yang dirancang.
Selepas melanggar dan membunuh dua lelaki, Helen dan Olga telah menuntut wang insurans sebanyak US$2.8 juta sebelum salah satu syarikat insurans mula mengesyaki dua wanita ini dan telah bekerjasama dengan polis untuk menyiasat mereka.
Pada tahun 2008, dua nenek ini telah didakwa atas jenayah mereka dan dihukum penjara seumur hidup.
3. Faye Copeland
Faye Copeland dan suaminya Ray telah mengumpan pengembara ke dalam rumah mereka yang terletak di sebuah ladang di Missouri sebelum pasangan ini membunuh mangsa mereka dan menanam mayat-mayat di padang rumah mereka.
Perbuatan mereka ini kemudiannya terbongkar dan kedua-dua mereka telah dijatuhkan hukuman mati menjadikan Faye Copeland sebagai wanita paling tua menunggu hukuman mati pada usia 69 tahun.
Pada tahun 1999, hukuman wanita ini telah dilonggarkan kepada penjara seumur hidup sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2004.
4. Leonarda Cianciulli
Wanita berasal dari Itali, Leonarda Cianciulli merupakan seorang penilik nasib yang dikatakan telah mendapat firasat untuk memulakan pembunuhan bersirinya.
Leonarda mengatakan yang dia telah mendapat firasat bahawa anak-anaknya telah ditakdirkan untuk meninggal muda dan ianya terbukti apabila wanita ini telah mengandung sebanyak 17 kali seramai 13 anak-anaknya telah meninggal dunia ketika masih kecil dan tiga dari mereka pula meninggal kerana keguguran.
Disebabkan ini, Leonarda percaya yang dia perlu buat sesuatu menggunakan ilmu hitam bagi memastikan anak-anaknya yang masih hidup tidak menerima nasib yang sama.
Pada tahun 1939 dan 1940, Leonarda telah membunuh tiga wanita dan mengerat badan mangsa-mangsanya yang kemudiannya dibuat menjadi sabun dan kuih yang diberikan kepada jiran-jirannya.
Leonarda kemudiannya telah ditangkap dan mengaku telah membuat pembunuhan-pembunuhan tersebut. Ekoran ini, wanita ini telah dihukum penjara 30 tahun dan tiga tahun di rumah sakit jiwa di mana dia telah meninggal dunia pada tahun 1970.
Artikel berkaitan: Leonarda Cianciulli: Bunuh 3 Wanita Sebelum Jadikan Mereka Sabun & Kuih Untuk Hidang Pada Jiran
5. Amelia Dyer
Pada tahun 1800-an di England, ibu bapa yang tak mahukan anak mereka akan meninggalkan anak mereka di rumah Amelia Dyer. Mereka akan membayar Amelia sejumlah wang supaya wanita ini mengambil anak mereka sebagai anak angkat. Amelia berjanji kepada ibu bapa ini untuk menjaga anak-anak yang ditinggalkan dengan baik.
Namun begitu, selepas mengambil wang bayaran, Amelia telah memberikan kanak-kanak ini dadah jenis opiod dan apabila kanak-kanak malang ini mati disebabkan overdose, mayat-mayat mereka disembunyikan.
Selepas 30 tahun barulah orang sedar dengan jenayah yang dilakukan oleh wanita ini. Ketika dia ditangkap dan dihukum atas perbuatannya, Amelia telah pun membunuh lebih dari 400 kanak-kanak.
Sumber: Stars Insider