Crime of passion merupakan jenayah gabas terutamanya pembunuhan di mana pelaku telah melakukan tindakan tersebut ketika emosi sedang memuncak seperti cemburu, marah atau kecewa.
Kalau korang nak tahu, jenayah pembunuhan seperti ini biasanya berlaku tanpa niat kerana pelaku telah bertindak secara impulsif dan mengikut emosi.
Jadi memang tak hairanlah kalau banyak kes pembunuhan berlaku disebabkan oleh crime of passion ni. Ia juga menunjukkan yang manusia boleh bertindak dengan ganas apabila diri telah dikuasai oleh emosi.
Artikel berkaitan: OJ Simpson Mati Kerana Kanser, Ini ‘Throwback’ Kisah Pembunuhan Isterinya Pada Tahun 1994
Jadi untuk artikel kali ini, jom kita tengok beberapa kes terkenal yang melibatkan crime of passion ni.
1. Pembunuhan Kitty Genovese (1964)
Kitty Genovese merupakan seorang pengurus bar yang telah diserang secara ganas dan dibunuh berhampiran rumahnya yang terletak di Queens. Pada malam kejadian, Kitty dalam perjalanan pulang ke rumah pada jam 3 pagi apabila seorang lelaki, Winston Moseley yang berusia 29 tahun, telah berkahwin dan mempunyai sejarah keganasan telah mengikut wanita ini pulang ke rumah.
Winston telah menyerang Kitty menggunakan pisau dan menikamnya beberapa kali sementara wanita ini menjerit meminta pertolongan. Laporan pada ketika itu mendakwa, ketika Kitty diserang, ada sekurang-kurangnya 38 saksi yang telah melihat atau mendengarnya namun tak seorang pun yang datang atau membantunya.
Winston telah melarikan diri dari tempat kejadian namun kembali semula 10 minit kemudian dan meneruskan serangannya dengan merogol, merompak dan menikam wanita malang ini semula sehingga menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Winston Moseley telah ditahan enam hari selepas pembunuhan tersebut di mana lelaki ini mengaku telah membuat serangan tersebut dan kemudiannya dijatuhkan penjara seumur hidup. Lelaki ini telah mati pada tahun 2016 selepas menghabiskan masa 50 tahun di penjara.
Artikel berkaitan: Pembunuhan Kitty Genovese: Dibunuh Luar Apartment, 37 Orang Tengok Tapi Sorang Pun Tak Call Polis?
2. Kes The Bobbit (1993)
Kes Bobbit melibatkan Lorena Bobbit seorang pendatang dari Ecuadorian yang berusia 24 tahun dan suaminya, John Wayne Bobbit, bekas anggota tentera laut berusia 26 tahun.
Pada malam 23 Jun 1993, Lorena telah memotong zakar John menggunakan pisau dapur ketika suaminya ini sedang tidur. Wanita ini kemudiannya telah melarikan diri dari rumahnya dan membuang zakar yang telah dipotong di sebuah padang sebelum membuat panggilan kecemasan untuk melaporkan insiden tersebut.
Lorena mendakwa yang tindakannya itu adalah disebabkan oleh keganasan rumah tangga yang dilaluinya selama bertahun-tahun termasuk serangan fizikal dan seksual dari suaminya. Selain itu, Lorena mengatakan, pada malam kejadian, suaminya ini telah merogolnya dan perkara itu merupakan pencetus yang membuatkan dia bertindak sedemikian.
John Bobbit bagaimanapun telah menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa Lorena menyerangnya ekoran marah dengan perpisahan mereka.
Zakar John telah berjaya ditemui oleh pihak polis dan berjaya dicantum semula selepas menjalani pembedahan selama sembilan jam. Manakala Lorena telah didakwa atas kesalahan mencederakan suaminya namun didapati tidak bersalah kerana hilang akal sementara dan perlu menjalani pemeriksaan mental selama 45 hari di hospital.
3. Pembunuhan Scott Amedure (1995)
Scott Amedure merupakan lelaki berusia 32 tahun yang muncul dalam satu rancangan TV “The Jenny Jones Show”. Episod yang dirakamkan pada 6 Mac 1995 telah menampilkan satu segmen bertajuk “Same-Sex Secret Crushes” di mana pada ketika itu Scott telah mendedahkan bahawa dia mempunyai minat romantik terhadap kawannya yang berusia 24 tahun, Jonathan Schmitz.
Jonathan yang tak tahu apa yang menantinya pada segmen tersebut telah memberikan reaksi tak selesa tapi tak mempamerkan apa-apa tindakan yang ganas pada ketika itu.
Tiga hari selepas rakaman tersebut, pada 9 Mac 1995, Jonathan telah membeli satu senapang dan menuju ke rumah Scott dan bertanya kepadanya tentang pendedahan yang dibuat sebelum ini. Jonathan kemudiannya telah menembak mati John sebanyak dua kali di dada.
Jonathan kemudiannya telah menyerahkan diri kepada pihak polis dan mengaku membunuh Scott. Dia telah didakwa atas kesalahan membunuh tanpa niat dan dijatuhkan hukuman 25 ke 50 tahun penjara. Jonathan diberikan pengampunan pada Ogos 2017 selepas menghabiskan masa 22 tahun di dalam penjara.
4. Pembunuhan Travis Alexander (2008)
Travis Alexander, seorang jurujual berusia 30 tahun telah dibunuh dengan kejam di dalam rumahnya di Mesa, Arizona. Mayatnya telah ditemui lima hari kemudia pada 9 Jun 2008 oleh rakan-rakannya selepas risau tak mendengar khabar mengenainya.
Travis telah ditemui di dalam bilik air dengan beberapa luka tikaman, tanda kelar di leher dan luka tembakan di kepala.
Travis Alexander dan Jodi Arias (27 tahun), telah menjalani hubungan percintaan yang turun naik sejak tahun 2006. Walaupun mereka telah memutuskan hubungan pada 2007, mereka terus berjumpa dengan satu sama lain dan masih menjalankan hubungan seksual. Namun sering bergaduh ekoran pertengkaran dan cemburu.
Kemudian pada 4 Jun 2008, Jodi telah melawat Travis di rumahnya. Ketika itu, dia telah mengambil gambar Travis di dalam bilik air dan gambar tersebut telah ditemui menunjukkan lelaki ini masih hidup sebelum dibunuh beberapa minit kemudian.
Jodi telah menikam Travis sebanyak 27 ke 28 kali, mengelar leher dari telinga ke telinga dan menembak lelaki ini di kepala menggunakan pistol .25 kaliber.
Pada awalnya, Jodi menafikan yang dia telah berada di rumah Travis pada waktu kejadian. Dia kemudiannya mengubah cerita dan mendakwa dua penceroboh telah masuk ke rumah Travis dan membunuh lelaki ini sementara dia melepaskan diri. Akhirnya, wanita ini mengaku membunuh bekas teman lelakinya itu namun mendakwa pembunuhan tersebut dibuat kerana mempertahankan diri selepas Travis menyerangnya.
Ketika perbicaraan, Jodi telah membela dirinya sendiri dan mendakwa penderaan yang dilakukan oleh Travis ke atas dirinya. Pada 8 Mei 2013, Jodi didapati bersalah kerana membunuh namun barisan juri gagal menemui persetujuan bersama untuk memberikan hukuman mati sehingga menyebabkan perbicaraan tergantung.
Perbicaraan semula telah diadakan pada tahun 2014 juga telah mengakibatkan perbicaraan tergantung dan kemudian pada April 2015, Jodi dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa pengampunan.
5. Pembunuhan Lana Clarkson (2003)
Lana Clarkson merupakan seorang pelakon dan model berusia 40 tahun yang terkenal dengan peranannya dalam filem-filem kelas B pada tahun 1980-an. Pada malam 3 Februari 2003, Lana Clarkson telah bertemu dengan seorang produser muzik, Phil Spector di House of Blues, Los Angeles di mana dia telah bekerja sebagai pelayan. Selepas syifnya habis, Lana bersetuju untuk menemani Phil ke rumah agamnya yang terletak di Alhambra.
Pada awal pagi keesokan harinya, pemandu Phil, Adriano De Souza telah mendengar bunyi tembakan dan melihat Phil keluar dari rumahnya dengan memegang pistol sambil didakwa berkata, “saya rasa saya dah bunuh seseorang”. Lana ditemui mati di kawasan ruang legar rumah dengan luka tembakan di bahagian mulut.
Phil Spector telah ditahan dan didakwa atas pembunuhan Lana Clarkson. Phil mengatakan bahawa Lana telah meninggal kerana membunuh diri secara tak sengaja dengan mendakwa wanita itu telah menembak dirinya sendiri.
Namun begitu, pihak pendakwa raya mengatakan bahawa Phil mempunyai sejarah mengugut wanita dengan senjata api dan dia telah membunuh Lana dalam keadaan marah.
Pada 13 April 2009, Phil telah didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menggunakan senjata api dan dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun. Phil meninggal dunia di penjara pada 16 Januari 2021 ekoran komplikasi Covid-19.
Sumber: leelofland