Hari ini tular sebuah video di laman media sosial Twitter yang memaparkan sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah insiden rompakan bersenjata di sebuah rumah.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam itu dipercayai berlaku di Taman Sri Andalas, Klang.
Polis kini memburu empat orang suspek yang turut disyaki melakukan jenayah sama di Taman Petaling, 17 Februari lalu.
https://twitter.com/redzuanNewsMPB/status/1631521964249743360?s=20
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian samun itu semalam.
“Siasatan mendapati, kira-kira 8.45 pagi, empat suspek lelaki menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran dipercayai palsu berhenti di hadapan rumah berkenaan.
Keempat-empat suspek bertopeng, bersarung tangan dan bersenjata parang dan memasuki ke dalam rumah melalui pintu hadapan.
Semasa kejadian, tiga ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan dalam lingkungan umur antara 46 hingga 88 tahun berada di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Hasil siasatan mendapati beberapa jenis barang kemas anggaran kira-kira RM24,000, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone hilang, keseluruhan kerugian mencapai kira-kira RM25,000.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati seorang mangsa cedera akibat menahan pintu ketika suspek cuba masuk ke dalam rumah.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat.
Baca: Perompak Letupkan 2 ATM Di Setia Alam, Bawa Lari RM349K Dalam 5 Minit!

