Dua hari lalu (19 Februari) ringgit telah merekodkan paras terendah dalam tempoh 25 tahun sejak krisis kewangan Asia 1997-1998 yang lalu apabila ia dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Nilai ini telah jatuh kepada 0.3 peratus sejak Rabu ke 4.7607 per dolar AS iaitu paling lemah sejak 1998 dan merupakan prestasi terburuk di Asia pada tahun ini selepas yen (Jepun).
Berbanding dolar Singapura, ringgit secara relatifnya tidak berubah daripada Rabu, didagangkan pada 3.4679 setakat 10.27 pagi. Sehingga tahun ini, ringgit telah melemah lebih daripada 5 peratus berbanding dolar Singapura, penurunannya terhad oleh kelemahan mata wang Singapura itu sendiri.
Penurunan ini jelasnya telah membuatkan ramai tak senang duduk melihat prestasi ringgit Malaysia di pasaran. Malah sejak 2 Januari tahun ini, ringgit telah melemah sebanyak 2 peratus berbanding dolar Singapura. Jadi, pada artikel kali ini, kita akan tengok beberapa sebab kenapa perkara ini berlaku lebih-lebih lagi bila dibandingkan dengan dolar Singapura.
1. Perang Israel-Hamas
Kerugian ringgit yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan peningkatan dolar AS ditengah-tengah kebimbangan terhadap peperangan Israel-Hamas. Selain itu, Malaysia juga mencatatkan penurunan eksport enam bulan berturut-turut hingga Ogos, ekoran kelembapan di China, dagangan terbesarnya.
2. Bank Negara Malaysia tangguhkan kenaikan faedah
Keputusan Bank Negara Malaysia untuk menangguhkan kenaikan kadar faedah sejak Julai juga turut memberi kesan kepada mata wang. Ini telah menempatkan kadar dasar semalaman tempatan pada rekod pengurangan berbanding dengan had kadar dana Bank Persekutuan Amerika Syarikat.
Apabila Bank Persekutuan Amerika Syarikat mula menaikkan kadar faedah, dolar Singapura juga turut menurut jejak mereka. Disebabkan ini, tak banyak perbezaan faedah di antara AS dan Singapura kalau nak dibandingkan dengan Malaysia sekaligus menjadikan Singapura destinasi yang lebih menarik untuk membuat pelaburan berbanding Malaysia.
3. Singapura dolar dianggap “dolar mini”
Di peringkat serantau, dolar Singapura juga memainkan peranan yang besar untuk dijadikan ‘dolar mini’ sebagai simpanan berbanding mata wang lain. Disebabkan ini, terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk dolar Singapura. Ini kerana, pada saat-saat genting atau ketidakpastian seperti sekarang, mata wang yang diiktiraf sebagai simpanan akan dianggap sebagai bernilai. Kalau di peringkat global, mata wang ini dipegang oleh dolar Amerika Syarikat, manakala di peringkat serantau, peranan ini dimainkan oleh dolar Singapura.
Oktober lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata penurunan nilai tidak unik kepada Malaysia, hampir semua mata wang di dunia menurun berbanding AS$ terutamanya negara membangun termasuk Malaysia.
Apa yang saya ingin tekankan ialah walaupun kita (nilai ringgit) telah mencecah paras AFC (Krisis Kewangan Asia), kita bukan dalam krisis. Dari segi perkembangan ekonomi Malaysia, baru-baru ini Jabatan Perangkaan telah menerbitkan Anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar Awalan bagi suku ketiga 2023 pada pertumbuhan 3.3 peratus, lebih baik berbanding 2.9 peratus pada suku kedua.”
Sumber: Kosmo, Malaysiakini, NST, The Straits Times