Bagi mereka yang pernah melancong ke Thailand, pasti mengetahui salah satu tarikan pelancongan di sana ialah aktiviti tunggang gajah.
Walaupun aktiviti ini menarik dan seronok di mata pengunjung, hakikatnya banyak sisi gelap industri ini yang dibongkarkan oleh pencinta haiwan.
Laporan The Thaiger mendedahkan seekor gajah terpaksa menanggung kecacatan kekal di belakangnya selepas lebih 25 tahun dijadikan tarikan tunggangan kepada pelancong.
Menerusi gambar yang dikongsikan, gajah yang diberi nama Pai Lin dilihat tidak berada dalam keadaan normal dengan tulang belakangnya bukan lagi pada posisi sepatutnya.
Tulang belakang Pai Lin telah terkeluar dan tenggelam akibat daripada bebanan kerja yang dilakukannya secara berulang.
Yayasan Rakan Haiwan Liar Thailand (WFFT) mengatakan gajah tidak sesuai untuk dijadikan mod pengangkutan walaupun saiznya yang besar.
“Meskipun gajah cukup terkenal dengan kekuatannya, tulang belakangnya tidak sesuai untuk menanggung beban untuk satu tempoh yang panjang.
Malah turut kelihatan punggung Pai Lin seperti memiliki parut hitam disebabkan tekanan yang lama.
“Tekanan yang berterusan berpunca daripada pengunjung yang menunggang di belakang mereka akan mengakibatkan kesan fizikal kekal, seperti mana dapat dilihat pada Pai Lin,” katanya.
Sebelum ini, gajah yang berusia 71 tahun ini dipaksa untuk mengangkut puluhan pengunjung setiap hari dengan enam individu diletakkan di belakangnya dalam satu-satu masa.
Pai Lin kini telah dihantar ke pusat pemeliharaan haiwan liar yang mana dia tidak lagi dirantai serta diberikan kebebasan dalam ruang yang disediakan.
Syukur… sekurang-kurangnya Pai Lin dapat diselamatkan sebelum terlambat.