Seramai 25 individu telah dimasukkan ke hospital di Istanbul selepas mengalami gejala keracunan makanan selepas makan di sebuah restoran di Daerah Sisli pada lewat Jumaat.
Kesemua mangsa dilaporkan memesan menu yang sama, iaitu “lahmacun”, sejenis roti leper tradisional Turkiye yang ditabur daging cincang dan rempah.
Menurut Pengarah Kesihatan Wilayah Istanbul, Abdullah Emre Guner, kesemua yang terlibat berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta penilaian lanjut di hospital.
Mangsa dilaporkan mengalami simptom seperti loya dan muntah sejurus selepas menikmati makanan tersebut.

Artikel berkaitan: Calon PhD Di Switzerland Makan Makanan Kucing Untuk Jimat
Artikel berkaitan: Peguam Dedah Sukarelawan Malaysia Ditarik Rambut, Dip*kul Di Muka & Diberi Makanan Haiwan
Siasatan awal mendapati restoran berkenaan beroperasi tanpa lesen yang sah. Susulan itu, pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera menutup premis tersebut bagi mengelakkan insiden berulang dan untuk menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap punca keracunan.
Kejadian ini turut meningkatkan kebimbangan awam terhadap isu keselamatan makanan di Istanbul, terutama selepas negara itu digemparkan dengan kematian empat sekeluarga pelancong dari Jerman akibat keracunan makanan baru-baru ini.
Sumber: Astro Awani
