in

24 Jam Paling Kritikal Buat Flotila, Risiko Dipintas Tentera Israel Semakin Tinggi – Fahmi Fadzil

flotila

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tempoh 24 jam akan datang disifatkan sebagai detik paling kritikal buat delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini semakin hampir memasuki perairan berisiko tinggi berhampiran Gaza.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan laporan terkini, flotila yang disertai 47 kapal termasuk 34 rakyat Malaysia dijangka memasuki zon kuning sejauh kira-kira 300 batu nautika dari Gaza dalam tempoh sehari lagi.


“Ini saat yang genting kerana dijangkakan berlaku pintasan daripada tentera Israel. Kalau tidak ada gangguan, dalam beberapa hari lagi kapal-kapal ini akan memasuki zon merah.

“Namun, memandangkan baru-baru ini berlaku insiden di Tunisia, kita perlu menjangkakan kemungkinan insiden sama berlaku lebih awal, iaitu dalam zon kuning,” katanya, lapor Harian Metro.

0809 LNR FLOTILLA TUNISIA
Kapal-kapal flotila yang kini berada dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Artikel berkaitan: “450 batu nautika lagi” – Konvoi Sumud Flotilla Kian Hampiri Kawasan Perairan Dikuasai Israel

Artikel berkaitan: Konvoi Global Sumud Flotilla Kini Berlayar Dari Tunisia Ke Gaza, Cabar Sekatan Israel Demi Sampaikan Bantuan Kemanusiaan

Menurut Fahmi, kerajaan melalui Wisma Putra akan memberi maklumat terkini mengenai perkembangan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam misi tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada Itali dan Sepanyol kerana menghantar kapal pengawal pantai untuk membantu melindungi flotila berkenaan.

“Penyertaan dua negara ini amat signifikan kerana mereka sebelum ini sekutu Israel, tetapi kini telah mengiktiraf Palestin. Ini menunjukkan sentimen dunia sudah berubah dan masyarakat antarabangsa tidak lagi berdiam diri terhadap tindakan Israel,” katanya.

Tambah Fahmi, Malaysia antara negara terawal menyokong penuh inisiatif Sumud Nusantara yang kini digabungkan dengan GSF.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sedang memantau rapi perkembangan ini. Kerajaan juga akan berusaha memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia sentiasa terjamin,” katanya.

Global Sumud Flotilla (GSF) membawa bantuan kemanusiaan berupa makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas ke Gaza. Misi kali ini disertai aktivis dari pelbagai negara termasuk Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Malaysia menghantar 34 wakil di bawah panji Sumud Nusantara, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.