in

“20 tan sampah?” – Pembangkang Tempelak Kenyataan Nga Kor Ming, Dakwa Angka Tak Masuk Akal

sampah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kontroversi berhubung dakwaan 20 tan sampah ditinggalkan selepas Himpunan Turun Anwar semakin panas apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari tampil membidas kenyataan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Fadhli, angka yang dikemukakan Kor Ming tidak masuk akal dan tidak disertakan dengan bukti kukuh, sebaliknya hanyalah tuduhan yang bersifat retorik dan mengelirukan.


“Kalau betul ada 20 tan sampah yang ditinggalkan merata-rata, mari kita kira secara logik.

“Andaikan satu daripada tiga peserta membuang sampah dan setiap seorang hasilkan 300 gram, maka jumlah peserta perlu lebih 200,000 orang.

“Sedangkan pihak polis sendiri anggarkan hanya 18,000 hadir. Siapa yang melebih-lebih dalam isu ini? Atau sebenarnya, ‘sampah’ itu ialah kenyataan beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fadhli Shaari

Fadhli turut mencabar Kor Ming agar mengemukakan bukti bergambar atau laporan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan bagi menyokong dakwaan tersebut.

“Jangan hanya bercakap kosong di media sosial. Jika benar ada 20 tan sampah, tunjukkan gambar kawasan yang dikatakan terjejas teruk.

Rakyat berhak tahu fakta sebenar,” tegasnya sambil menyifatkan kenyataan menteri itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada mesej utama perhimpunan.

Beliau juga menegaskan bahawa penganjur telah mengurus pembersihan dan mengingatkan peserta agar membawa semula sampah masing-masing.

Artikel berkaitan: 18,000 Hadir Himpunan Turun Anwar Di Dataran Merdeka, Polis Sahkan Tiada Insiden Tak Diingini

Artikel berkaitan: Kecoh Protes Besar-Besaran Sampai Selebriti Pun Turun Padang, Ini Apa Yang Sedang Berlaku Di Indonesia Sekarang!

Terdahulu, Kor Ming dalam satu hantaran di platform X menyelar sikap peserta perhimpunan yang didakwa membuang sampah secara berleluasa sehingga menyebabkan pekerja SWCorp terpaksa bertugas hingga lewat malam untuk membersihkan kawasan sekitar Kuala Lumpur.

“Biar fakta bicara. Hampir 20 metrik tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan pembangkang PN semalam.

“Sikap pengotor ini amat dikesali. Sangat memalukan,” katanya.

Himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang di Dataran Merdeka itu dikatakan bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya meletakkan jawatan. Ia dilaporkan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal, dengan kehadiran ribuan peserta.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.