Pagi tadi, kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang menggegarkan Sumatera Barat dan setakat ini difahamkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan 20 lagi cedera dalam bencana tersebut.
Dalam laporan CNN Indonesia, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Lt Jen Suharyanto berkata seramai 2 maut dan 20 lagi cedera akibat gempa bumi di Pasaman Barat, Sumatera Barat hari ini.
Suharyanto berkata, data tersebut masih merupakan data sementara dan dia akan turut memastikan pihaknya akan terus melakukan penyelarasan bagi mengumpul data berkaitan mangsa tragedi tersebut.
Penduduk di sekitar Bandar Pasaman, Sumatera Barat dikatakan berlindung di tempat-tempat selamat ketika bangunan mula runtuh. Gegaran kuat itu berlaku beberapa minit selepas satu lagi gegaran yang kurang kuat dan itu menyebabkan penduduk mula meninggalkan rumah mereka.
Menurut pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter itu menggegarkan Pulau Sumatera pada kedalaman 12 kilometer (km), kira-kira 70 km dari bandar Bukit Tinggi di wilayah Sumatera Barat.
Sebagai info, sebelum ini pernah terjadi gempa bumi di Sumatera Barat dengan kekuatan 7.6 skala richter di perairan Sumatera Barat pada tarikh 30 September, gempa ini terjadi di perairan Sumatera, kira-kira 50 km dari barat laut Kota Padang.
Gegaran daripada gempa tersebut turut dirasai di wilayah-wilayah berhampiran iaitu Riau dan Sumatera Utara sehingga ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Baca: [TERKINI] “Gempa bumi ke?”- Kecoh Satu KL Rasai Gegaran Pagi Ini!
