Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Seorang wanita terpaksa menghadapi detik yang memilukan apabila bayinya yang berusia tiga bulan ditemukan maut selepas dipercayai tertindih lengan bapanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Kampung Perigi Hang Tuah, Melaka, pagi tadi.
Kejadian itu disedari Azura Abdul Malik, 40, ketika dia pulang ke rumah dari tempat kerja untuk membawa anak bongsunya, Muhammad Nur Daniel mendapatkan suntikan bayi di klinik kesihatan.
Azura berkata, setiba di rumah dia terkejut melihat keadaan bayinya berada di bawah lengan suaminya, Nurul Efendy Ibrahim, 35, yang ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Artikel berkaitan: Ibu Mangsa Tidak Rela Kejadian Menimpa Anaknya Terjatuh Dari Tingkat 30 Dirakam & Disebarkan
Artikel berkaitan: Dirempuh Kereta Dipandu Bapa Ketika Mahu Alihkan Kenderaan Dari Garaj Ke Luar Rumah, Bayi 12 Bulan Maut
“Saya terkejut sebab tak ada sebarang kesan darah, bila masuk ke dalam bilik tidur saya lihat kedua-dua yang berada di atas katil tidak sedarkan diri.
“Ketika itu saya mendapati suami tidak sedarkan diri dan bayi kami berada di bawah lengannya dan masa kejadian bayi saya masih bernyawa, namun keadaanya begitu lemah,” katanya.
Dia kemudian terus bergegas ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, namun malangnya anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd. Supian Md. Dali memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada hospital pada pukul 9.58 pagi.
“Kami dimaklumkan terdapat satu mangsa lelaki berusia 30 tahun telah meninggal dunia di lokasi dan bayinya ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Pihak hospital mohon pasukan membuat pemeriksaan di kediaman tersebut sekiranya berlaku kebocoran gas, namun hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mungkin maut akibat serangan jantung, jadi bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” ujarnya.
Difahamkan, Nurul Efendy pernah mengadu mengalami sakit dada, namun enggan mendapatkan rawatan.
Jenazah kedua-dua beranak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian, Utusan