Siapa yang tidak risau jika ada ahli keluarga yang tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam apatah lagi jika mereka tidak dapat dihubungi.
Itulah kerisauan yang dialami oleh sebuah keluarga di Sarikei, Sarawak apabila salah seorang ahli keluarga mereka dilaporkan hilang pada Selasa lalu.
Namun, apa yang menyedihkan adalah ahli keluarga yang berusia 72 tahun itu ditemui dalam keadaan yang menyayat hati kerana disyaki telah dibaham buaya.
Tidak pulang selepas keluar memancing
Kejadian berlaku apabila mangsa Leong Kheng Onn dikatakan menaiki motosikal keluar dari rumahnya pada jam 5 petang Selasa lalu untuk memancing di tebing Sungai Rusa, Sarikei. Akan tetapi, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat anaknya pada jam 7 pagi, semalam.
“Kehilangan mangsa disedari keluarganya apabila dia tidak balik ke rumah sehingga jam 9 malam dan mereka mencarinya sebelum menemui motosikal mangsa berdekatan sungai.
“Selain motosikal, keluarganya hanya menemui peralatan memancing serta selipar mangsa berdekatan motosikal itu,”
Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan putus kaki kanan
Sepanjang tempoh pencarian, akhirnya pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat mangsa pagi tadi dengan kaki kanannya putus, dipercayai dibaham buaya.
Mayat ditemui di anak sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari pos kawalan bomba pada jam 11.40 pagi dan terus dibawa ke pos kawalan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian