Seramai 201 lelaki ditahan dalam satu operasi mengejut di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang.
Serbuan sekitar jam 8 malam itu dilakukan hasil kerjasama Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 60 tahun, termasuk 17 penjawat awam seperti doktor, pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru dan pegawai agensi penguat kuasa.
Pemeriksaan awal mendapati premis dua tingkat tersebut beroperasi sebagai pusat kesihatan tetapi dipercayai digunakan untuk aktiviti menyalahi undang-undang sejak lapan bulan lalu.

Artikel berkaitan: Zhiddin Aziz Kongsi Detik Diganggu Lelaki Songsang Ketika Berada Di Tanah Suci
Artikel berkaitan: Ramai Kritik Video Imran Bard, Dianggap Cuba Normalisasi Budaya Songsang
Premis itu dilengkapi kemudahan seperti gimnasium, sauna, spa, kolam mandi serta ruang rehat, dengan pelanggan dikenakan bayaran pendaftaran seumur hidup sebanyak RM10 dan caj RM35 bagi setiap kunjungan.
Polis percaya pusat berkenaan menarik pelanggan melalui media sosial sebelum mereka berinteraksi di lokasi tersebut.
Selain warga tempatan, pelanggan dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China turut ditahan. Dalam operasi sama, 80 lelaki beragama Islam ditahan di bawah undang-undang syariah kerana kelakuan tidak sopan di tempat awam.
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 387B Kanun Keseksaan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Premis tersebut sebelum ini didakwa menjadi lokasi popular dalam kalangan pengunjung yang mencari kenalan melalui platform media sosial sebelum bertemu di pusat berkenaan.
Sumber: Berita Harian
