Sebanyak 17 jalan utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara bermula 15 hingga 17 April ini bagi memberi laluan kepada lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), penutupan jalan akan berlangsung secara berperingkat dan melibatkan tempoh antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Menurut Astro Awani, langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang lawatan berlangsung.
Antara laluan yang terlibat termasuk Lebuhraya ELITE, MEX, SUKE, NPE, KESAS, Smart Tunnel, selain beberapa jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
Jalan-jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur juga tidak terkecuali daripada penutupan sementara ini.
Artikel berkaitan: China Kenakan Tarif Balas 125 Peratus Terhadap Barangan AS, Pasaran Global Semakin Goyah
Artikel berkaitan: Tarif Baharu Amerika Syarikat, Harga iPhone Dijangka Cecah RM10,000 Seunit

Pada 15 April, penutupan dijangka bermula seawal jam 6 petang dan melibatkan laluan dari Lebuh KLIA hingga ke Jalan P5, Putrajaya.
Sementara itu, pada 16 April, penutupan akan dilakukan pada tiga waktu berbeza iaitu sekitar jam 9.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.10 petang. Bagi hari terakhir lawatan pada 17 April, laluan dari Putrajaya ke KLIA akan ditutup bermula jam 8.50 pagi.
Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan bahawa seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengiringi pergerakan delegasi, mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan sepanjang tempoh lawatan berlangsung.
Pihak JSPT turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Kerjasama pengguna jalan raya amat penting bagi memastikan kelancaran acara kenegaraan ini.