in

“13 kanak-kanak dil*wat, usia 2 tahun diasing keluarga” – Pendedahan Polis Mengenai Penghuni Rumah Amal GISB

Rumah Amal Gisb Kanak Kanak Diliwat

Pada 11 September lalu, pasukan polis menerusi serbuan Op Global telah menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja melibatkan 20 rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan saringan yang dijalankan, siasatan polis mendapati seramai 13 kanak-kanak dan remaja dipercayai menjadi mangsa liwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata seramai sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala selebihnya pada fasa sebelumnya.

“Kesemua yang menjadi mangsa liwat ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 17 tahun.”

Semua kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.

Artikel berkaitan: Kecoh Pendedahan Isu Rumah Amal Eksploitasi Kanak-kanak, Ini Latar Belakang Syarikat GISB

Artikel berkaitan: Penduduk Dakwa Tak Pernah Nampak Kanak-kanak Rumah Amal GISBH Pergi Sekolah

Rumah Amal Gisbh Diserbu

Sejak usia 2 tahun diasingkan daripada keluarga

Sementara itu, dalam saringan itu juga, polis mendedahkan ada antara mereka ditinggalkan keluarga di rumah amal berkenaan sejak berusia dua tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai generasi ketiga atau keempat syarikat terkemuka tersebut.

“Selain itu, siasatan mendapati ada dalam kalangan ibu bapa mangsa berada selama enam tahun di negara luar seperti Arab Saudi dan Turkiye.

“Kita melihat mereka ini tidak mendapat pendidikan sebagaimana kanak-kanak lain, yang mana sepatutnya sekolah tapi tidak bersekolah, itu juga satu penganiayaan kepada kanak-kanak,” katanya.

Whatsapp Image 2024 09 13 At 11.24.28 9F4Dacff

Katanya lagi, sebahagian kanak-kanak yang diselamatkan itu mempunyai dokumen pengenalan diri, malah ada juga yang tidak mempunyai dokumen.

Difahamkan, seramai 171 individu ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes eksploitasi kanak-kanak.

Kesemua premis yang diserbu telah ditutup buat sementara waktu, dan berkemungkinan akan diambil tindakan sita.

Sumber: Berita Harian, Kosmo!, Sinar Harian