Hati mana yang tidak luluh apabila cahaya mata yang ditunggu hampir sedekad akhirnya pergi dalam sekelip mata.
Itulah yang ditanggung pasangan suami isteri, Amirul Ridzuan Abu Bakar, 39, dan Nurul Husna Khairuddin, 38, selepas kehilangan anak bongsu kembar mereka, Amir Husain, yang baru berusia setahun dalam nahas di Plaza Tol Bukit Kajang semalam.
Amirul, seorang pensyarah di Perlis, berkata ketika kejadian berlaku, dia berada di Kedah atas urusan kerja manakala isterinya bersama kedua-dua anak kembar serta ibu bapa mentua keluar bersarapan menaiki sebuah Honda City.
“Sekitar jam 10.59 pagi, saya terima mesej SOS daripada telefon isteri. Saya cuba hubungi berkali-kali tapi tak berjawab. Akhirnya ada orang lain yang angkat dan memaklumkan isteri saya terlibat kemalangan,” katanya.
Artikel berkaitan: “Masih teringiang raungan mereka” – Lelaki Sebak, Kongsi Detik Sayu Kemalangan Di Plaza Tol Bukit Kajang
Artikel berkaitan: Tertekan Dengan Layanan Ketika Belajar Punca Wanita Warga Asing Mengamuk Serang Orang Di Kajang

Lebih memilukan, Amirul dimaklumkan bahawa anak bongsunya, Amir Husain, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas tercampak keluar dari kenderaan.
Kembar sulungnya, Amir Hasan, yang turut cedera, sudah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi.
Menurut Amirul, sebelum kejadian, anak bongsunya itu sempat menunjukkan perubahan sikap yang membuatkan dia sebak bila dikenang kembali.
“Kebiasaannya dia makan agak bersepah, biasalah macam budak lain. Tapi pagi tu dia makan bersungguh-sungguh, elok saja. Seolah-olah dia tahu akan ‘pergi’,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2013, dan selepas hampir 10 tahun berusaha, mereka akhirnya dikurniakan anak kembar lelaki pada 20 Mei tahun lalu.
Amir Husain lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, pagi tadi.

Amirul mengakui dia berasa ralat kerana tidak dapat bersama anaknya di saat-saat akhir akibat hubungan jarak jauh dengan isteri.
“Saya ralat dengan tindakan pemandu lori itu, dan saya juga ralat sebab tak ada di sisi anak ketika kejadian. Tapi saya reda, doakan kami kuat menghadapi dugaan ini,” katanya.
Untuk rekod, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori tiga tan membawa barangan lusuh, sebuah pacuan empat roda Nissan X-Trail milik JKR, sebuah Honda City dan sebuah Proton X70.
Insiden berlaku sekitar jam 11 pagi, mengorbankan seorang bayi lelaki manakala lapan lagi cedera.
Kredit: Harian Metro