Malaysia menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu.
Memetik laporan Astro Awani, pasukan itu dijangka tiba di Yangon sekitar jam 1 tengah hari ini bagi memberikan bantuan segera di kawasan paling terjejas.
Selain itu, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand turut diselaraskan dan akan digerakkan dalam masa terdekat. Sebagai rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Malaysia menunjukkan komitmen penuh dalam membantu negara-negara yang terkesan, khususnya melalui sokongan kepakaran, aset teknikal dan logistik.
Malaysia juga akan menghantar dua pasukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan. Pasukan pertama yang terdiri daripada 10 anggota akan berlepas ke Yangon hari ini untuk melakukan penilaian awal, manakala pasukan kedua yang melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas pada Ahad bagi memberi tumpuan kepada kawasan yang paling terjejas.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Myanmar diikuti dengan gegaran susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter telah menyebabkan kemusnahan besar, termasuk kehilangan nyawa, kecederaan serius serta runtuhan bangunan dan infrastruktur awam. Mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan kini menjadi keutamaan dalam usaha menyelamat yang dijalankan dalam keadaan mencabar.
Gempa bumi itu bukan sahaja memberi kesan besar kepada Myanmar, tetapi turut dirasai di Thailand, termasuk di Chiang Mai dan Bangkok, serta sejauh Ho Chi Minh City, Vietnam.